Presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu menegaskan bahawa pengundi dari kaum India adalah penting bagi Barisan Nasional (BN) sebagaimana yang dapat dilihat dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok Sabtu lalu.

Dalam pilihanraya kecil tersebut, BN berjaya mengekalkan kerusi Ijok selepas calonnya K Parthiban dari MIC, menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan majoriti 1,850 undi.

Samy Vellu berkata, hampir 80 peratus pengundi India yang berdaftar di Ijok baru-baru ini, menyokong calon BN.

Bagaimanapun, kata Menteri Kerjaraya itu, beliau juga mendapati semasa pilihanraya kecil Ijok lalu, masih ramai dkaum India belum mendaftar diri sebagai pengundi.

Sehubungan itu, beliau memberitahu Bernama, MIC akan menjalankan gerakan pendaftaran pengundi secara besar-besaran di seluruh negara.

Katanya, sebuah jawatankuasa kebangsaan yang diketuai oleh seorang naib presiden MIC, akan ditubuhkan bagi tujuan itu.

Sasar golongan muda

"Kita mahukan semua yang layak mengundi dari kaum India, didaftar sebagai pengundi bagi menghadapi pilihanraya akan datang," katanya.

Beliau berkata lebih 4,000 cawangan MIC diberikan tempoh sebulan untuk menghantar kepada ibupejabat parti itu, senarai kaum India yang belum mendaftar sebagai pengundi.

"Ibu pejabat MIC kemudiannya akan membantu Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk mendaftar mereka. Masih ramai golongan muda dari kaum India yang belum mendaftar sebagai pengundi," katanya.

Samy Vellu berkata, beliau sudah mengarahkan semua ketua cawangan parti untuk melaksanakan gerakan rumah ke rumah bagi mengenal pasti pengundi baru.

Menurutnya, beliau mendapati ada kes-kes di mana dalam sebuah rumah terdapat sehingga empat atau lima penghuninya yang belum mendaftar sebagai pengundi.

Beliau berkata, cawangan MIC juga diarahkan mengenal pasti pengundi yang menukar alamat kediaman supaya dapat dikesan semasa pilihanraya.