Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelantan, Pusat capai kata sepakat nak selesaikan isu air
Diterbitkan:  Jun 1, 2023 3:30 PM
Dikemaskini: 7:30 AM

Kerajaan Kelantan dan Putrajaya dilaporkan mencapai kata sepakat dalam usaha kedua-dua pihak menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri itu.

Perkara itu dimaklumkan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Azami Mohd Nor, selepas menghadiri mesyuarat antara wakil kerajaan Kelantan bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Putrajaya, hari ini.

“Alhamdulillah selesai bermesyuarat bersama perdana menteri.

"Mencapai kesepakatan bersama antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu air di Kelantan.

“Insya-Allah siri-siri perjumpaan akan terus diadakan bagi kelangsungan perbincangan isu ini. Terima kasih semua yang terus memberi sokongan kepada kami,” katanya dalam hantaran di Facebook selepas menghadiri mesyuarat bagi bagi membincangkan cadangan penyelesaian bekalan air di Kelantan dan Sabah.

Turut hadir pada mesyuarat berkenaan adalah Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob, Setiausaha Kerajaan Kelantan, Nazran Muhammad, dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Mesyuarat yang diadakan itu antara lain susulan komitmen Anwar yang sebelum ini menyatakan hasratnya untuk membantu Kelantan menangani masalah air yang membelenggu Kelantan sejak sekian lama.

Dalam kunjungannya ke Kelantan baru-baru ini Anwar menegaskan komitmen Putrajaya untuk membantu negeri ditadbir PAS sejak 33 tahun lalu mengatasi kemelut tersebut.

Perkara berkenaan, tambah Anwar, sudah dipersembahkan kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dalam pertemuannya dengan pihak istana sebelum ini.

“Kelantan ini menghadapi masalah bekalan air bersih agak serius, jadi saya nak mengemukakan cadangan supaya kerjasama kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“Kita adakan pertemuan dan kerjasama dengan projek bekalan air yang lengkap dan tepat untuk negeri Kelantan keseluruhannya,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani peringkat negeri Kelantan di Kota Bharu, bulan lalu.

Anwar turut menegaskan tidak wajar selepas lebih 60 tahun merdeka masalah air bersih di Kelantan tetap berterusan malah dijadikan modal politik.

Sementara itu Ahmad pula menyatakan harapan agar mesyuarat berkenaan menatijahkan kebaikan.

“Semoga mensyuarat pada hari ini menatijahkan kebaikan buat negeri Kelantan khususnya berkaitan bekalan air selaras dengan semangat persekutuan,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS