Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sistem baru: Sesiapa saja boleh mohon peruntukan projek kecil - Rafizi

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bercadang untuk memperkenalkan sistem baru bagi memohon peruntukan terhadap projek kecil-kecilan yang akan dibuka terus kepada rakyat.

Menterinya Rafizi Ramli berkata ini akan mempercepatkan proses menangani isu seperti membaiki longkang tersumbat atau jalan berlubang.

"Satu perkara yang saya ingat kerajaan persekutuan buat perubahan, mendemokrasikan peruntukan kecil untuk rakyat.

"Selama ini saya ingat jadi wakil rakyat terpaksa buat macam-macam. Baiki longkang dan lain-lain.

"Jadi insyAllah kita sedang merancang supaya selepas ini peruntukan besar untuk projek rakyat seperti itu boleh dimohon terus kepada kementerian oleh sesiapa sahaja di Malaysia.

"Tak payah melalui lapisan-lapisan," katanya.

Dia berkata demikian semasa sesi bersama pihak berkepentingan dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 bersama kerajaan Selangor yang diadakan di Shah Alam hari ini.

Rafizi berkata sistem baru itu akan dilancarkan antara pertengahan atau akhir Jun ini.

Kalau tidak, menteri terlalu berkuasa

Dengan sistem baru tersebut, sesiapa sahaja daripada orang awam hingga pejabat daerah dan jabatan negeri boleh terus meminta peruntukan daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Dia berkata pada masa ini, terdapat terlalu banyak lapisan birokrasi yang terlibat untuk peruntukan diluluskan yang boleh mengambil masa sehingga dua hingga tiga tahun.

"Kira menang-menang untuk semua. Kita sebagai rakyat kita tahu

"Ini membuka peluang sama rata kepada semua negeri dan semua orang. Kalau tidak menteri yang bertanggungjawab kepada peruntukan jadi terlalu berkuasa.

"Mula dulu tengok jika dapat sambutan baik," katanya.

Jelas Rafizi, sudah tentu ada syarat-syarat yang disertakan untuk permohonan peruntukan, tetapi butiran lanjut mengenai proses itu akan didedahkan apabila sistem itu dilancarkan secara rasmi.

Lihat Komen
ADS