BN menang di Ijok kerana pengundi baru, kata Anwar
Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok Sabtu lalu kerana mendapat sokongan daripada pengundi baru, kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok Sabtu lalu kerana mendapat sokongan daripada pengundi baru, kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, pengundi baru telah mengundi calon BN, K Parthiban yang menewaskan calon PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam pilihanraya kecil Ijok dengan majoriti 1,850 undi.
Anwar yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, sebahagian besar pengundi baru mengundi Parthiban, termasuk di kawasan majoriti Melayu.
"Jika pengundi baru mengundi PKR, saya percaya Khalid akan menang di Ijok. Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan pilihanraya umum lalu, PKR mendapat undi yang lebih banyak kali ini.
"Nampaknya calon kita, Khalid hanya kalah kepada kepada pengundi baru. (Oleh itu), saya tidak menganggap Khalid kalah, malah satu kemenangan moral untuk PKR.
"Kita akan terus berjuang dan memastikan PKR akan menang di Ijok dalam pilihanraya akan datang," katanya ketika berucap di sebuah restoran di Pekan Ijok petang semalam.
Undi majoriti
Hadir sama ialah Khalid; Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah; Ketua Wanita, Fuziah Salleh; Ketua Penerangan, Tian Chua dan Pemangku Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin.
Anwar kemudian menghadiri satu lagi majlis di Batang Berjuntai dan pada malamnya berceramah di Batu 8 Ijok.
Dalam pilihanraya kecil Ijok Sabtu lalu, Parthiban mendapat 5,884 undi untuk menewaskan Khalid yang memperolehi 4,034 undi dengan pertambahan undi majoriti sebanyak 201 undi berbanding dengan 1,649 undi dalam pilihanraya umum 2004.
Keputusan itu menunjukkan undi yang diperolehi oleh BN dan PKR kali ini masing-masing bertambah 671 undi (BN) dan 470 undi (PKR). Pada 2004, BN mendapat 5,213 undi manakala PKR mendapat 3,564 undi.
Dalam pilihanraya umum lalu, calon BN, Datuk K Sivalingam mengalahkan calon PKR, Abdol Rahman Moharam serta seorang calon Bebas, Mohamed Shariff Nagoorkani.
Sementara itu, berucap di majlis yang sama, Pengarah Pilihanraya PKR, Azmin Ali berkata, beliau sangat yakin akan dapat menawan kerusi DUN Ijok dalam pilihanraya umum akan datang.
Khalid sedia tanding lagi
Katanya, sokongan pengundi Ijok kepada PKR tidak berubah, malah meningkat berbanding dalam pilihanraya umum lalu.
"Walaupun BN menggunakan seluruh jentera kerajaan, termasuk menabur puluhan juta projek untuk penduduk Ijok dalam tempoh 10 hari berkempen, PKR masih mendapat undi yang lebih banyak berbanding pilihanraya umum lalu.
"Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Ahmad Badawi di Ijok manakala Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkhemah di sini sepanjang kempen berjalan, tidak berjaya menarik pengundi lama supaya menyokong BN," katanya.
Khalid yang turut berucap di majlis tersebut mengucapkan terima kasih kepada penduduk Ijok yang telah mengundi beliau dalam piliharaya kecil Sabtu lalu.
Katanya, beliau sedia menjadi calon sekali lagi dan berkhidmat kepada penduduk Ijok dalam pilihanraya umum akan datang.

