Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Penjelasan Hadi buktikan pemimpin PAS lain tak tahu apa-apa'
Diterbitkan:  Jun 2, 2023 9:27 AM
Dikemaskini: 2:22 AM

Penjelasan Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkaitan ‘tawaran’ untuk menyertai kerajaan menunjukkan pemimpin PAS lain tidak tahu apa-apa, kata ahli politik veteran DAP Lim Kit Siang.

"Saya mengucapkan tahniah kepada presiden PAS, Hadi, kerana tidak mengalami kekurangan intelektual dengan salah menganggap cadangan peribadi saya–bahawa PAS patut bergabung dengan kerajaan perpaduan Anwar (Ibrahim)–sebagai jemputan rasmi DAP atau kerajaan.

"Tetapi ia juga menunjukkan bahawa semua pemimpin PAS yang lain, termasuk mursyidul am, timbalan presiden, dan ketua penerangan, tidak tahu apa yang diucapkan oleh presiden mereka,” katanya.

Kata Lim, jika pemimpin PAS yang lain tidak tahu apa yang diperkatakan oleh presiden mereka apatah lagi parti politik lain dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) termasuk Bersatu.

Semalam, Hadi memberitahu media bahawa tawaran itu bukan dibuat baru-baru ini sebaliknya selepas pilihan raya umum lalu.

Sebelum itu, Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin mendakwa Lim membuat tawaran itu kerana kerjasama dalam kerajaan berada dalam keadaan goyah kerana orang Melayu tidak lagi menyokong Umno.

Dia juga turut membidas presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dengan mengatakan bahawa timbalan perdana menteri tidak membuat kerja rumah apabila menafikan tawaran sedemikian pernah dibuat kepada PAS.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pula menafikan Lim ada bertemu dengan pimpinan PAS baru-baru ini.

“Bukan dia (Lim). Saya tidak mahu menyatakan siapa. Saya cuma boleh sahkan ada beberapa individu datang berjumpa dengan pemimpin PAS,” katanya ketika diminta mengesahkan sama ada Lim yang bertemu parti itu baru-baru ini berhubung tawaran menyertai kerajaan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS