Orang Melayu merupakan pemilih terbesar yang mengundi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tan Sri Khalid Ibrahim dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok Sabtu lalu, kata Ahli Parlimen Kuala Selangor, Daud Tarihep.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pilihanraya Umno Kuala Selangor di Ijok berkata, ia bermakna mereka tidak mengundi calon Barisan Nasional (BN), K Parthiban, tetapi sebaliknya mengundi Khalid sebagai tanda protes kepada BN.

Daud berkata, pengundi Melayu tempatan itu sebenarnya memberi isyarat kepada kepimpinan BN bahawa mereka mahu BN meletakkan calon Melayu bertanding di Ijok dalam pilihanraya umum akan datang.

Oleh itu, katanya, pucuk pimpinan BN harus memberi perhatian sewajarnya terhadap perkembangan tersebut jika ia mahu mendapatkan sokongan padu pengundi Melayu di Ijok.

"Jika pucuk pimpinan BN memandang remeh perkara ini, kemungkinan besar pengundi Melayu akan terus mengundi pembangkang dalam pilihanraya umum nanti," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengenai kemenangan BN di Ijok, Daud berkata, ia adalah sesuatu yang sudah dijangka kerana semua jentera BN dari seluruh negara berkampung di Ijok.

Oleh itu, katanya, majoriti 1,850 undi yang diperolehi BN juga kurang memuaskan memandangkan hampir semua menteri turun berkempen membantu Parthiban.

'Kekuatan sebenar'

Dalam pilihanraya kecil Ijok Sabtu lalu, Parthiban mendapat 5,884 undi untuk menewaskan Khalid yang memperolehi 4,034 undi dengan pertambahan undi majoriti sebanyak 201 undi berbanding majoriti 1,649 undi dalam pilihanraya umum 2004.

"Jadi, kita tidak boleh membuat ukuran bahawa PKR sudah ditolak oleh pengundi Ijok dan mereka akan memilih BN sekali dalam pilihanraya umum akan datang.

"Dilihat dengan perbelanjaan dan penggunaan jentera kempen yang terlalu besar oleh BN, termasuk kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, majoriti yang diperolehi itu tidak boleh dibanggakan sangat," katanya.

Daud berkata, kekuatan sebenar boleh diukur dalam pilihanraya umum kerana BN Kuala Selangor secara bersendirian menghadapi pembangkang.

Sementara itu, Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim meramalkan bahawa karier politik bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berkubur ekoran kekalahan PKR di Ijok.

"Anwar telah ditolak rakyat. Beliau akan berkubur bersama-sama dengan PKR dalam pilihanraya umum akan datang, " katanya ketika ditemui di Ijok baru-baru ini.

Ketika diminta mengulas mengenai beberapa insiden pergaduhan antara penyokong BN dan pembangkang, Abdul Azeer mendakwa, ianya berlaku kerana penyokong pembangkang sering cuba mengganggu ceramah dan program BN sepanjang tempoh berkempen di Ijok.

Oleh itu, katanya, Pemuda Umno Umno terpaksa menghalang mereka daripada berbuat demikian, mengakibatkan berlaku sedikit kekasaran..