Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kertas siasatan isu 'hina raja' Dr M dirujuk ke AGC minggu depan
Diterbitkan:  Jun 3, 2023 7:20 PM
Dikemaskini: 12:13 PM

Kertas siasatan ke atas Dr Mahathir Mohamad berhubung isu dia didakwa menghina institusi raja sudah disiapkan, kata Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

Setiausaha PDRM Noorsiah Mohd Saaduddin berkata selaras dengan peruntukan undang-undang kertas siasatan tersebut akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (AGC) minggu depan.

"PDRM telah melengkapkan kertas siasatan terhadap Tun Dr Mahathir bersabit kes penghinaan terhadap institusi diraja.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada 6 Jun ini selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan media.

Dalam kenyataan sama Noorsiah juga memberitahu bagi isu membabitkan Proklamasi Orang Melayu, PDRM masih di peringkat siasatan.

Katanya polis akan merakamkan percakapan dua ahli politik lagi iaitu Presiden PAS Abdul Hadi Awang, dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy.

Semalam, peguam Rafique Rashid Ali yang mewakili Mahathir berkata bekas perdana menteri itu disoal mengenai video yang dikatakan menunjukkan pemimpin berusia 97 tahun itu bercakap di sebuah majlis.

Dalam video itu, Mahathir didakwa membuat kenyataan bahawa orang Melayu tidak boleh bergantung kepada Raja-raja Melayu untuk melindungi mereka.

Mahathir disoal siasat oleh polis di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan atas dakwaan “aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.”

Rafique menyifatkan soal siasat itu sebagai "intimidasi" terhadap Mahathir, berkata siasatan tertumpu kepada laporan yang dibuat mengenai 'Proklamasi Melayu' - kempen terbaru bekas ahli parlimen Langkawi itu.

Lihat Komen
ADS