Umno N Sembilan: Waktu sesuai untuk Isa sokong pemimpin muda
Pengerusi Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias memberi gambaran bahawa kepulangan Isa Samad ke parti itu bukan untuk menjadi calon pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Sebaliknya, Jalaluddin Alias dilaporkan berkata bekas menteri besar itu akan menggunakan pengalamannya untuk menyokong calon yang lebih muda dan barisan baru pemimpin Umno.
“Isa tahu pelapis ramai, yang perlu meneruskan khidmat sebagai pemimpin Umno.
"Waktu inilah masa sesuai untuk dia sokong semua pemimpin muda atau pemimpin pertengahan,” kata Jalaluddin seperti dipetik Free Malaysia Today.
Jalaluddin juga berkata Isa, yang memegang jawatan menteri besar Negeri Sembilan selama 22 tahun, adalah seorang veteran politik yang biasa mengetengahkan pemimpin muda.
Bekas pengerusi Felda itu juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dari 2004 hingga 2005.
Dia meninggalkan Umno pada 2018 untuk bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil (PRK) parlimen Port Dickson. Dia mendapat tempat ketiga dalam pertandingan tujuh penjuru dengan 4,230 undi.
Semalam, Isa dalam temu bual dengan Utusan Malaysia mendedahkan dia kini sedang membantu Jalaluddin dalam memberi penjelasan kepada ahli parti berhubung hubungan mereka dengan DAP.
Dia menjelaskan bahawa sebahagian besar tugas ini melibatkan usaha memastikan Umno dan kerajaan perpaduan mencapai kemenangan dalam pilihan raya negeri akan datang.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/bbedcd11b06c310e86c749791556bb19.jpg)
