NUJ mahu kjaan iktiraf blog sebagai media baru
Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) mahu kerajaan mengiktiraf kewujudan laporan dalam internet dan blog sebagai media baru bagi menyebarkan maklumat.
Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) mahu kerajaan mengiktiraf kewujudan laporan dalam internet dan blog sebagai media baru bagi menyebarkan maklumat.
Presiden NUJ, Norila Mohd Daud berkata, fenomena mendapatkan maklumat menerusi internet memberi kesan yang amat besar dan ini menjadi sumber maklumat alternatif isu-isu semasa yang menyentuh masyarakat di negara ini.
"Penggunaan internet dan konsep dunia tanpa sempadan yang tidak ditapis telah menjadikan maklumat lebih mudah diperoleh oleh sesiapa jua.
"Demikian halnya, apa jua penyalahgunaan oleh penjawat awam boleh didedahkan segera dalam internet" katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Kebebasan Akhbar Antarabangsa hari ini.
Menurut laporan Bernama, Norila berkata, ia selaras dengan misi kerajaan yang mahu memastikan akauntabiliti dan ketelusan serta meningkatkan sistem penyampaian yang lebih baik.
Pada masa yang sama, katanya, perkembangan saluran media baru ini telah mempengaruhi media arus perdana dan mengubah dunia kewartawanan masakini.
"Melihat kepada perkembangan terkini, NUJ berpendapat kerajaan harus memberikan lebih kebebasan kepada akhbar tempatan dengan meminda beberapa undang-undang yang menyekat seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Akta Rahsia Rasmi (OSA)," katanya.
NUJ berpendapat, penggubalan Akta Kebebasan Maklumat akan dapat meningkatkan penyaluran maklumat antara jabatan kerajaan, media dan orang ramai, kata Norila.

