Kertas undi hilang bukan berlaku di Ijok sahaja
Jumlah kertas undi paling banyak tidak dipulangkan 8,176 undi berlaku di Kerusi Parlimen Lumut di Perak, dalam pilihanraya umum 1999.
Jumlah kertas undi paling banyak tidak dipulangkan 8,176 undi berlaku di Kerusi Parlimen Lumut di Perak, dalam pilihanraya umum 1999.
Felo penyelidikan di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Wong Chin Huat menghantarkan data tersebut kepada malaysiakini berdasarkan kepada laporan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Dalam pilihanraya umum 1999, calon BN, Kong Cho Ha menewaskan calon PKR, Zaman Huri Samsudin dengan majoriti 605 undi, dengan 8,176 kertas undi tidak dipulangkan.
Mengambilkira jumlah kertas undi yang begitu banyak tidak dipulangkan, maka kemenangan Kong diragui kerana kemenangan itu juga boleh memihak kepada calon PKR.
Bagaimanapun, jumlah kertas undi yang tidak dipulangkan telah berkurangan dalam pilihanraya umum 2004, berbanding dengan 1999, tetapi jumlahnya masih mencecah angka ribuan.
Lumut terus menerus menduduki tempat teratas dalam carta dalam empat pilihanraya umum lalu, termasuk 5,486 kertas undi yang 'hilang' dalam tahun 2004. (lihat carta di bawah).
Pada tahun itu, Kong menewaskan calon PKR, Mustafa Kamil Ayub dengan majoriti 11,614 undi.
Bagaimanapun, dengan mengambilkira kertas undi yang hilang itu, majoritnya mungkin berkurangan kepada 6,128 undi.
Isu kertas undi tidak dipulangkan timbul dalam pilihanraya kecil Ijok di mana 142 kertas undi di satu daripada lima saluran di pusat pengundian Pekan Berjuntai Bestari, tidak dikembalikan.
Bawa balik kertas undi
Jumlah kertas undi yang tidak dikembalikan itu hampir 30 peratus daripada sejumlah 500 kertas undi yang dikeluarkan di Bestari Utara. Ia seperti menunjukkan, seorang bagi setiap tiga orang pengundi, membawa balik kertas undi mereka.
Wong yang sebelum ini diminta mengulas mengenainya berkata ia bukanlah suatu perkara baru dan mengemukakan data-data yang telah dikumpulkannya kepada malaysiakini .
"Fokus saya adalah kerusi Parlimen dari tahun 1990 hingga 2004 dan anda boleh lihat jumlahnya sangat tinggi. Isu kertas undi tidak dipulangkan, bukan suatu yang baru," tambahnya.
Beliau memandang berat jumlah yang membimbangkan itu yang menurutnya boleh menjejaskan keputusan sesuatu pilihanraya.
"SPR perlu menjelaskan mengapa terlalu banyak kertas undi yang hilang. SPR perlu mengemaskinikan rekod mereka dan mesti telus dalam proses berbuat demikian," katanya.
Bagaimanapun, Wong berkata, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman pernah menjelaskan bahawa jumlah besar kertas undi yang tidak dipulangkan itu adalah disebabkan oleh anggota tentera laut yang belayar selepas kertas undi dihantar kepada mereka.
"Pelayaran apakah yang memerlukan 5,000 anggota tentera laut dihantar sekaligus?" soalnya.
Kertas undi itu dihantar lima hari selepas hari penamaan calon dan mesti dipulangkan kepada pegawai pengurus pilihanraya pada jam 5 petang hari pengundian.
"Mungkin SPR tidak bersalah...tanpa ia menunjukkan mereka tidak cekap...
"SPR mesti membersihkan namanya dan membetulkan masalah yang timbul itu bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka bukan sebahagian daripada masalah tersebut," katanya.

