Kumpulan penduduk Petaling Jaya tampil menyatakan solidariti bersama 19 ahli majlis yang keluar daripada mesyuarat lembaga Majlis Bandar Raya Petaling (MBPJ) Jaya kerana perselisihan mengenai kelulusan projek pembangunan.

Kumpulan penduduk juga mendakwa ini kali kedua ahli majlis terpaksa meninggalkan mesyuarat demi menjaga kepentingan penduduk berhubung projek pembangunan tersebut di Lorong Sultan.

"Undang-undang sedia ada mengenai peranan dan fungsi ahli majlis (termasuk datuk bandar) adalah amat jelas.

"Oleh yang demikian, kami amat bimbang sekurang-kurangnya dua kali dalam sejarah baru-baru ini, ahli-ahli majlis kami dipaksa bertindak meninggalkan mesyuarat bagi menegakkan prosedur dan integriti proses membuat keputusan serta kepentingan komuniti.

"Apa yang lebih membingungkan tindakan keluar itu adalah berkaitan dengan perkembangan kontroversi yang sama di Lorong Sultan,” kata kumpulan itu dalam kenyataan malam tadi.

Pada 30 Mei lalu, 19 ahli majlis MBPJ bertindak keluar dari mesyuarat selepas Datuk Bandar Mohamad Azhan Md Amir didakwa enggan mengambil kira kebimbangan mereka berkaitan prosedur kelulusan projek pembangunan di Lorong Sultan.

Ahli Majlis MBPJ Terence Tan dilaporkan berkata Unit Pusat Sehenti (OSC) sebelum ini menolak projek itu berikutan nisbah plot yang dicadangkan lebih tinggi daripada had dibenarkan bandar berkenaan ketika penilaian dibuat.

"Pemaju kemudian memfailkan rayuan dengan Lembaga Rayuan Negeri.

"Sementara itu, negeri mengeluarkan garis panduan baru mengenai nisbah plot," kata Tan.

Tan juga berkata dia dan ramai ahli majlis lain yang keluar tidak membantah pembangunan itu tetapi hanya mahu MBPJ mengikut prosedur.

Sementara itu penduduk turut menyatakan rasa bangga mereka kerana mempunyai sejumlah besar ahli majlis MBPJ yang benar-benar mewakili mereka dan berani membela penduduk bagi memastikan prosedur dipatuhi dengan sewajarnya, dan prinsip semak dan imbang dalam sistem ditegakkan.

Kenyataan kumpulan penduduk itu disahkan bekas ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan.