Ahli majlis dakwa keluar mesyuarat demi lindungi kepentingan MBPJ
Sekumpulan 19 ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang bertindak keluar daripada mesyuarat lembaga semalam berkata mereka berbuat demikian untuk melindungi kepentingan majlis bandaraya itu.
Dalam satu kenyataan, mereka berkata ini adalah kerana apa sahaja keputusan mesyuarat mengenai projek pembangunan di Lorong Sultan - yang menjadi perselisihan fahaman mereka - akan dijadikan sebagai rujukan sekiranya timbul sebarang isu kemudian.
“Apa sahaja keputusan yang dibuat pada hari ini, akan menjadi rujukan kepada isu-isu yang akan berbangkit pada masa akan datang.
“Justeru, keputusan 19 orang Ahli Majlis MBPJ, adalah untuk menjaga kepentingan MBPJ sendiri, melindungi MBPJ daripada khilaf dari segi perundangan dan memastikan kesejahteraan warga Petaling Jaya, supaya keputusan tanpa mematuhi prosedur seperti ini tidak membuka peluang kepada kes-kes lain yang akan datang,” kata ahli majlis itu dalam kenyataan, yang dikeluarkan pada Selasa lalu.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan mesyuarat lembaga penuh MBPJ, semalamberakhir secara tiba-tiba selepas 19 daripada 24 ahli majlis bertindak keluar kerana perselisihan faham mengenai prosedur yang terlibat dalam kelulusan projek pembangunan di Lorong Sultan.
Akhbar The Star melaporkan bahawa pertengkaran sengit berlaku semasa mesyuarat yang diketuai oleh Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir.
Menurut laporan itu, 19 ahli majlis itu tidak bersetuju dengan kenyataan Azhan bahawa ahli majlis bukanlah pembuat keputusan dalam perbincangan oleh Unit Pusat Setempat (OSC) MBPJ, dan mereka hanya berada di situ untuk memberi input dalam aspek sosial dan politik.
Ahli Majlis MBPJ Terence Tan dilaporkan berkata OSC sebelum ini menolak projek itu berikutan nisbah plot yang dicadangkan lebih tinggi daripada had dibenarkan bandar berkenaan pada masa penilaian dibuat.
Dalam kenyataan mereka, ahli majlis berkenaan berkata bahawa mereka tidak bersetuju dengan tindakan Datuk Bandar, yang menurut mereka mengabaikan proses undang-undang yang sewajarnya.
Mereka berkata Datuk Bandar membuat keputusan untuk meluluskan projek itu sedangkan majoriti pada mesyuarat itu tidak bersetuju dengannya.
“Pendirian 19 orang Ahli Majlis MBPJ adalah tegas bahawa apa-apa sahaja permohonan pembangunan di Petaling Jaya hendaklah melalui proses yang betul dan telus serta menghormati prinsip undang-undang. “Pendirian 19 orang Ahli Majlis MBPJ adalah jelas, pemohon hendaklah menarik balik kes di Lembaga Rayuan, memasukkan permohonan baharu dan permohonan akan dibincangkan semula berdasarkan garis panduan terkini, dan bukanlah diluluskan tanpa melalui proses perundangan yang betul,” kata mereka.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/05/7c4508dad0e8fda762dfbe530ea0b583.jpg)
