Ahli Parlimen Kuala Selangor, Daud Tarihep kecewa dengan sikap Ketua Umno bahagian tersebut, Datuk Ameruddin Setro yang enggan memberi kerjasama ketika beliau dilantik sebagai pengurus pengundi luar bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok minggu lalu.

Keadaan itu menyebabkan Daud terpaksa meletak jawatan walaupun Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo melantik beliau menjadi pengurus pengundi luar Umno Kuala Selangor sebelum hari penamaan calon.

Ameruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN kawasan Jeram merupakan Pengarah Pilihanraya Umno Kuala Selangor DUN Ijok manakala Daud dilantik sebagai timbalan pengarah pilihanraya kecil itu, bersama Adun Bukit Melawati, Datuk Mohamed Sayuti Said.

Dalam pilihanraya kecil Ijok, calon BN K Parthiban menang dengan majoriti 1,850 undi. Beliau memperolehi 5,884 undi untuk menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim yang mendapat 4,034 undi.

"Dr Mohd Khir telah melantik saya sebagai pengurus pengundi luar dalam satu mesyuarat pada 19 April, beberapa hari sebelum penamaan calon DUN ijok.

"Ameruddin dan pucuk pimpinan Umno bahagian Kuala Selangor setuju dengan cadangan Menteri Besar supaya saya menjadi pengurus pengundi luar dan mereka berjanji untuk memberi kerjasama.

"Bagaimanapun, saya tidak dapat menjalankan tugas kerana Ameruddin tidak memberi kerjasama menyebabkan saya menyerahkan semula jawatan tersebut kepada Menteri Besar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pengundi luar

Menurut Daud lagi, Menteri Besar kemudiannya melantik beliau mengetuai kempen jentera pilihanraya Umno Kuala Selangor di empat kawasan majoriti Melayu, iaitu Bukit Badong, Jaya Setia, Kampung Ijok dan Simpang Ijok.

Beliau berkata, Dr Mohd Khir menyerahkan kepada Ameruddin untuk melantik orang baru untuk menjadi pengurus pengundi luar Umno Kuala Selangor bagi pilihanraya kecil Ijok.

Katanya, tugas pengundi luar ialah untuk mengesan lebih 1,000 pengundi Ijok yang berada di luar kawasan mengundi supaya balik mengundi pada 28 April lalu.

Bagaimanapun, beliau belum mendapat laporan jumlah sebenar pengundi luar yang balik mengundi dalam pilihanraya kecil Ijok.

Sebelum pilihanraya Ijok, hubungan Daud dengan Ameruddin dan Mohamed Sayuti kurang erat berikutan berlakunya perebutan jawatan dalam mesyuarat pemilihan Umno bahagian Kuala Selangor pada 2004.

Dalam pemilihan tersebut, Ameruddin berjaya menyingkirkan Daud sebagai ketua bahagian walaupun Daud menasihatkan mereka supaya mengelakkan pertandingan.

Berikutan itu, Daud mendakwa beliau dipinggirkan daripada sebarang aktiviti anjuran Umno Kuala Selangor sehinggalah dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pilihanraya Umno Kuala Selangor bagi menghadapi pilihanraya kecil Ijok.

Satu pertemuan diadakan antara Daud, Ameruddin dan Mohamed Sayuti sebelum hari penamaan calon DUN Ijok di mana Dr Mohd Khir meminta mereka supaya berdamai demi menjamin kemenangan BN dalam pilihanraya kecil Ijok.