Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelab wartawan berang larangan hubungi Ketua Polis P Pinang
Diterbitkan:  Jun 7, 2023 2:56 PM
Dikemaskini: 6:59 AM

Berlaku perkembangan yang agak pelik di Pulau Pinang apabila media dilarang daripada menghubungi Ketua Polis Pulau Pinang, Khaw Kok Chin, untuk mendapatkan komen pihak berkuasa.

Arahan tersebut - yang dikatakan dibuat pegawai perhubungan awam ibu pejabat polis kontinjen negeri - mendapat kecaman daripada Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (Mutiara).

Menurut mereka pegawai terbabit memberitahu wartawan semalam, Khaw hanya akan membuat kenyataan rasmi "selepas mendapat semua maklumat "yang disahkan dan 'diperbetulkan" oleh bahagian berkenaan.

"Tiada wartawan yang boleh terus menghubungi Datuk Ketua Polis Pulau Pinang untuk bertanyakan soalan.

"Namun sekiranya masih ada yang 'curi-curi' menghubungi Datuk Ketua Polis Pulau Pinang serta mendapatkan jawapan secara personal, ia dianggap tidak sah dan tidak boleh digunakan sebagai kenyataan rasmi Ketua Polis Pulau Pinang," kata pegawai terbabit yang dipetik Mutiara.

Dia juga didakwa menegaskan pegawai polis terbabit menganggap tindakan wartawan mendapatkan berita daripada Khaw secara terus sebagai "melanggar etika kewartawanan."

Bagaimanapun, tiada sebab dinyatakan di sebalik arahan tersebut.

Baru-baru ini Khaw menjadi perhatian selepas mendedahkan dia menerima ugutan daripada pihak tertentu berikutan tindakan kerasnya ke atas aktiviti sindiket peminjaman wang haram (ah long) di negeri itu.

Patut bebas buat keputusan

Ugutan dalam bentuk surat itu memberi amaran agar Khaw menghentikan operasi polis atau berdepan dengan tindak balas daripada mereka.

Antara ancaman yang diberikan, lapor Bernama pada 5 Jun lalu, ialah ada kedai serta balai polis yang akan dibakar jika amaran berkenaan tidak diendahkan.

Mutiara berkata larangan yang dikeluarkan semalam jelas menyekat kebebasan media untuk menghubungi ketua polis negeri dan melaporkan berita secara tepat serta pantas.

Bahkan, tambah Mutiara, Khaw sendiri - yang baru memulakan tugasnya di Pulau Pinang pada Mei lalu - membenarkan wartawan menghubungi dia secara peribadi, selain bertanya melalui grup di WhatsApp.

"Mutiara sedar dan mengambil maklum beliau mempunyai tugas berat dan sibuk, namun jika beliau sudi menjawab soalan daripada pengamal media, beliau seharusnya dibenarkan untuk berbuat demikian.

"Pada masa sama beliau juga berhak menolak untuk memberi maklum balas. Ia adalah sesuatu yang difahami serta diterima pengamal media," kata Mutiara.

Kelab itu turut mengecam kenyataan dibuat polis berkaitan etika cubaan wartawan yang dilabel "mencuri-curi" menghubungi Khaw kerana ia bersifat melampaui batas serta menghina pengamal media yang menjalankan tugas masing-masing.

"Dakwaan tersebut tidak mencerminkan sikap profesionalisme ketika berkomunikasi dengan pengamal media," katanya.

Mengenai kenyataan polis negeri bahawa jawatan Khaw yang tidak melalui tapisan dianggap sebagai jawapan peribadi pula, Mutiara berpendapat ia menjadi petanda pihak terbabit "buta" terhadap realiti kewartawanan.

"Kita baru menyambut Hari Kewartawanan Nasional dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan terhadap kebebasan media di negara ini.

"Mengambil teladan itu, semua pihak perlu bergerak ke hadapan untuk menyuburkan kebebasan media serta memudahkan tugas wartawan, bukan bertindak sebaliknya," kata Mutiara.

Lihat Komen
ADS