Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Raymond Tan Shu Kiah hari ini dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah yang baru bagi menggantikan Tan Sri Chong Kah Kiat yang meletakkan jawatan bulan lalu.

Tan ialah timbalan presiden Parti Maju Sabah (SAPP). Manakala jawatan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang turut dikosongkan Chong, diisi oleh Datuk Masidi Manjun yang sebelum ini Menteri Belia dan Sukan Sabah.

Jawatan Masidi pula diisi oleh muka baru Datuk Liew Yun Fah. Liew Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merotai dan juga naib presiden Parti Liberal Demoktratik (LDP), akan mengangkat sumpah sebagai anggota kabinet di Istana Negeri esok.

Ketika mengumumkan rombakan kabinet itu hari ini, Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Setiausaha Kabinet Sabah, Datuk KY Mustafa berkata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi pada 25 April lalu mengenai rombakan ini.

"Dan (Abdullah) (mem)beri persetujuan terhadap perubahan kecil kabinet ini," kata Mustafa dalam laporan Bernama.

Pertahan prinsip

Chong, Adun Tanjung Kapor dan bekas presiden LDP, meletakkan semua jawatan kabinetnya pada 13 April lalu dengan alasan mempertahankan prinsip.

Sementara itu, Liew ketika dihubungi Bernama mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak serta Ketua Menteri kerana memberikan kepercayaan kepadanya untuk menganggotai kabinet Sabah.

Beliau juga menyatakan penghargaannya kepada presiden LDP, Datuk VK Liew serta bekas presiden parti itu serta rakan-rakan dalam parti komponen BN Sabah kerana pelantikan berkenaan.

Katanya, beliau akan melaksanakan tugas sebaik mungkin seperti yang diamanahkan untuk rakyat serta kerajaan BN.

VK Liew dalam kenyataannya hari ini berkata, Musa memaklumkannya sendiri kepada beliau mengenai pelantikan itu.

" Saya gembira kerajaan Sabah di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman telah mempertimbangkan Adun dari LDP (YB) Datuk Liew Yun Fah dalam rombakan kabinetnya."