Samy Vellu cabar Anwar bertanding di Sg Siput
Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu mencabar penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding menentangnya dalam pilihanraya umum akan datang.
Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu mencabar penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding menentangnya dalam pilihanraya umum akan datang.
"Mana-mana kawasan boleh berjumpa (bertanding). Boleh datang ke kawasan saya di Sungai Siput. Kita bukannya tikus yang penakut," katanya selepas mempengerusikan menyuarat jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC di ibupejabat parti itu di Kuala Lumpur semalam.
Beliau berkata, PKR tidak boleh menafikan kemenangan MIC dengan majoriti yang lebih besar dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok Sabtu lalu dan meminta parti pembangkang itu menerima hakikat kekalahan mereka di Ijok.
Piliharaya kecil itu menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi DUN itu selepas calonnya, K Parthiban dari MIC, menewaskan calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan majoriti 1,850 undi.
Menurut laporan Bernama, Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya berkata, beliau berjanji akan menunaikan janji BN untuk memastikan kebajikan dan keperluan asas penduduk di kawasan itu, termasuk jalanraya dibina dalam masa sebulan dua lagi.
Beliau berkata, kepimpinan tertinggi MIC, termasuk beliau sendiri, akan turun ke Ijok dua bulan sekali untuk memastikan penduduknya terbela tanpa mengira kaum dan agama.
Tutup cawangan
Dalam sidang media yang sama, Samy Vellu memberi amaran tegas akan menutup mana-mana cawangan parti itu yang tidak menjalankan tugas sebagai persediaan menjelang pilihanraya umum akan datang.
Katanya, beliau akan memecat mana-mana ketua cawangan yang didapati tidak menggerakkan jenteranya dan menggantikanya dengan calon yang lebih sesuai demi kepentingan parti dan rakyat.
"Kita juga akan memantau rapi wakil rakyat MIC untuk melihat sama ada mereka ada menjalankan tugas atau tidak," katanya.
MIC mempunyai 4,000 cawangan di seluruh negara serta memiliki 19 kerusi DUN dan sembilan kerusi Parlimen.
Selain itu, Samy Vellu berkata, MIC juga akan menggerakkan jenteranya untuk mendaftarkan 200,000 pengundi baru,yang dibahagikan dalam lima zon, bagi tempoh enam bulan.
Katanya, gerakan pendaftaran pengundi secara besar-besaran itu adalah ekoran kemenangan MIC pada pilihanraya kecil DUN Ijok.

