Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Di balik status PN17, Pharmaniaga terus dapat kontrak k’jaan
Diterbitkan:  Jun 8, 2023 1:34 PM
Dikemaskini: 5:36 AM

Kementerian Kesihatan memperbaharui kontrak bekalan ubat Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd susulan prestasi "cemerlang" syarikat itu.

Menteri Kesihatan Zaliha Mustafa memberitahu Dewan Rakyat, PLSB  mengekalkan prestasi melebihi 98 peratus dalam memenuhi pesanan dalam tempoh tujuh hari bekerja di semenanjung atau 10 hari bekerja di Sabah dan Sarawak.

“Berdasarkan kepada prestasi PLSB, kerajaan telah bersetuju dengan cadangan konsesi baharu iaitu konsesi perkhidmatan logistik bekalan perubatan untuk 10 tahun bagi menguruskan rantaian bekalan dan logistik produk-produk perubatan ke fasiliti Kementerian Kesihatan.

“Pengalaman dan kepakaran merupakan elemen penting untuk memastikan kelancaran pembekalan produk perubatan kepada fasiliti-fasiliti Kementerian Kesihatan,” katanya.

Dia menyifatkan prestasi PLSB setanding dengan syarikat logistik antarabangsa seperti  DKSH dan Zuellig Pharma.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Hong Pin (Harapan - Bakri) yang mahu tahu sama ada kerajaan akan menghentikan monopoli PLSB.

Tan membangkitkan keadaan syarikat induknya Pharmaniaga Berhad dikelaskan sebagai PN17 setelah melaporkan kerugian bersih RM664.39 juta dalam suku terakhir 2022.

Bursa Malaysia mengklasifikasikan sesebuah syarikat itu sebagai Nota Amalan 17 (PN17) jika mempunyai masalah kewangan. 

Syarikat-syarikat tersebut perlu mengemukakan cadangan pemulihan syarikat bagi memastikan status penyenaraiannya kekal.

Sementara itu, Zaliha berkata, status PN17 tidak menjejaskan operasi PLSB dalam mengendalikan aktiviti logistik dan pengedaran ubat-ubatan kepada fasiliti Kementerian Kesihatan di seluruh negara.

Tambahan pula, katanya, Pharmaniaga Berhad dimiliki secara langsung dan tidak langsung oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera bawah Kementerian Pertahanan.

Lihat Komen
ADS