Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan kes penukaran hak milik tanah rizab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kamunting, Perak kepada organisasi gereja diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Menurutnya perkara itu diputuskan oleh pengarah pendakwaan negeri Perak berikutan siasatan polis tidak dapat membuktikan kewujudan unsur penipuan dalam kes tukar milik tanah itu.

"Kertas siasatan sudah dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri Perak dan keputusan kes adalah NFA.

"Keputusan NFA diberi kerana tiada unsur penipuan dapat dibuktikan dalam siasatan oleh polis.

"Untuk makluman, lot 784 adalah tanah milik yang didaftarkan di atas nama The Titular Roman Catholic Bishop of Melaka di bawah PN 154733," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) yang bertanyakan status siasatan polis terhadap sebidang tanah rizab PDRM di Kamunting, Perak yang sudah ditukar milik kepada sebuah organisasi gereja di Melaka.

Sebelum ini laporan polis oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dibuat berhubung kes tukar milik tanah lot 784 berek kelamin dan rumah ketua balai berpangkat sarjan di Kamunting, Taiping.

Terdahulu media melaporkan, sebidang tanah rizab PDRM di Kamunting itu ditukar hak milik kepada sebuah organisasi gereja di Melaka.

Laporan itu antara lain mendedahkan penukaran tanah milik PDRM itu terbongkar selepas polis menerima surat daripada sebuah syarikat peguam yang mewakili pihak gereja pada 14 April lalu, yang menuntut hak milik tanah seluas 0.55 hektar di Mukim Kamunting.