Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia-Indonesia sepakat pertahan kepentingan kelapa sawit

Malaysia dan Indonesia pertama kali senada dalam usaha kedua-dua negara selaku pengeluar minyak sawit mempertahankan komoditi berkenaan yang berhadapan ancaman kempen anti sawit.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada kedua-dua kementerian dari kedua-dua negara di atas usaha sama mereka mencapai kata sepakat.

"Tahniah kepada kedua-dua Menteri kerana pertama kali satu suara mempertahankan kepentingan kelapa sawit," katanya semasa sidang media bersama Presiden Indonesia Joko Widodo di Kompleks Seri Perdana, hari ini.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Fadillah Yusof dan Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi (KOMENKO) Indonesia, Dr Airlangga Hartarto telah menyertai misi bersama ke Kesatuan Eropah (EU) bagi melindungi kepentingan sektor minyak sawit kedua-dua negara.

Kunjungan itu adalah di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).

Anwar turut seiring dengan Joko Widodo yang sering menegaskan di forum-forum antarabangsa keperluan melindungi industri sawit adalah bertujuan melindungi pekebun kecil dan bukan semata-mata syarikat-syarikat korporat.

Di sidang media yang sama, Presiden Indonesia itu turut menyampaikan penghargaan kepada kerajaan Malaysia dalam usaha bersama menangani diskriminasi terhadap sawit dan komoditi lain.

Beliau turut menghargai misi bersama Malaysia dan Indonesia ke EU baru-baru ini bagi menangkis kempen anti sawit di benua berkenaan.

"Kolaborasi semacam ini harus diperkuat, jangan sampai komoditi yang dihasilkan oleh Malaysia dan Indonesia didiskriminasi di negara lain," tegasnya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin menekankan perlunya untuk bekerjasama rapat bagi menangani langkah diskriminasi yang sangat merugikan terhadap minyak sawit oleh EU melalui pengenalan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Mereka menggariskan bahawa EU perlu segera menangani langkah-langkah diskriminasi tersebut dan berusaha ke arah penyelesaian yang adil dan saksama.

Joko Widodo dan delegasi mengadakan lawatan kerja dua hari ke Malaysia atas jemputan Perdana Menteri bermula Rabu, bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan yang telah lama terjalin dan rapat antara kedua-dua negara itu.

Kedua-dua pemimpin hari ini mengadakan perbincangan tertutup dan menyaksikan enam pertukaran perjanjian yang dimeterai berkenaan perdagangan, promosi pelaburan dan halal serta penyelesaian maritim.

- Bernama

Lihat Komen
ADS