Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Speaker nafi Syed Saddiq: Usul LCS ditolak sebab tunggu laporan PAC

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersikap tidak adil terhadapnya.

Ini kerana Syed Saddiq mendakwa usul untuk membincangkan skandal kapal tempur pesisir (LCS) ditolak kerana Speaker menganggap ia “bukan soal kepentingan orang ramai” dan “bukan keperluan mendesak”.

Johari menafikan dakwaan itu dan sebaliknya menjelaskan bahawa dia menolak usul itu antara lain kerana Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) belum mengeluarkan laporan mengenai perkembangan terbaru isu berkenaan.

"Mengikut Muar (Syed Saddiq), saya tolak usul dia kerana bagi andaian dia bahawa saya menganggap bahawa ini bukan kepentingan orang ramai dan bukanlah keperluan yang mendesak.

"Muar tidak berlaku adil sebab ada di perenggan keempat surat saya kepada Muar menyebut dengan jelas. Apa dia?

"Saya kata usul YB (Syed Saddiq) tidak memenuhi peraturan 18(7)(c), kerana saya dimaklumkan pihak Mindef (Kementerian Pertahanan) dikehendaki membentangkan laporan kemajuan projek pembinaan LCS setiap tiga bulan kpd PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) hingga projek ini disiapkan.

"PAC telah pun buat keputusan untuk melawat Lumut dan buat siasatan lanjut. Maknanya bila PAC dah buat keputusan, kita nak bincang buat apa lagi? Tunggulah sampai PAC report. Lepas tu kita akan bincangkan dan saya akan benarkan (usul untuk bahas) selepas report dibuat oleh PAC," kata Johari ketika mempengerusikan sesi petang sidang parlimen hari ini.

Dalam surat Johari, yang dikongsi oleh Syed Saddiq di media sosialnya, Speaker Dewan Rakyat itu juga berkata perkara berkenaan tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 23(1)(e).

Peraturan Mesyuarat 18(7)(c) menyatakan bahawa speaker boleh enggan membenarkan sebarang usul dikemukakan kepadanya jika mereka berpuas hati bahawa usul itu melanggar mana-mana peruntukan Peraturan Mesyuarat.

Sementara itu, Peraturan Mesyuarat 23(1)(e) menyatakan bahawa soalan tidak boleh merujuk kepada prosiding dalam jawatankuasa yang belum dilaporkan kepada Dewan.

Walaupun Johari tidak menyebut perkara ini dalam tegurannya terhadap Syed Saddiq, surat itu juga menyebut bahawa usul ahli parlimen Muar itu didapati tidak memenuhi Peraturan Mesyuarat 18(2) yang membenarkan ahli parlimen menggesa perbahasan tergempar mengenai "perkara tertentu, berkehendak disegerakan, dan berkenaan kepentingan orang ramai".

Bagaimanapun, Johari menjelaskan dalam surat itu bahawa ini kerana Syed Saddiq tidak menyatakan dengan jelas mengapa perkara itu ialah perkara tertentu, berkehendak disegerakan, dan berkenaan kepentingan orang ramai.

Awal hari ini, Saddiq berkata Johari telah menolak usul yang dikemukakannya untuk membahaskan projek LCS secara terperinci di Dewan Rakyat.

Dia mendakwa bahawa surat speaker menyatakan ia ditolak kerana isu itu "bukan soal kepentingan orang ramai" dan "bukannya keperluan yang mendesak"

Lihat Komen
ADS