Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan ke Lumut, Perak sekali lagi pada 10 Jun ini untuk melihat perkembangan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Kunjungan itu sekali gus memulakan Prosiding Perkembangan Kemajuan Pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua LCS, kata Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin.

Kata Mas Ermieyati, jawatankuasa itu juga mengambil syor daripada PAC penggal sebelumnya, yang mahu Kementerian Pertahanan membentangkan perkembangan terkini projek berkenaan kepada jawatankuasa itu setiap tiga bulan.

Seterusnya, kata Mas Ermieyati, PAC penggal kali ini akan membentangkan Laporan Kemajuan LCS berkenaan setiap tiga bulan di Dewan Rakyat.

"Bagi laporan kali ini, ia akan menyentuh kemajuan

pembinaan yang dicapai dari Oktober 2022 sehingga Mei 2023," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, usul Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi membahaskan mengenai LCS di Dewan Rakyat ditolak Speaker Johari Abdul, hari ini.

Syed Saddiq mendakwa usul itu ditolak kerana ia dikatakan "bukan berkenaan kepentingan orang ramai" dan "bukan keperluan mendesak".

Johari bagaimanapun tampil menafikan dakwaan Syed Saddiq dan sebaliknya menjelaskan bahawa usul itu ditolak antara lain kerana PAC belum mengemukakan laporan mengenainya.

Kali terakhir PAC mengunjungi lokasi pembinaan projek LCS pada Ogos tahun lalu, ketika jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Wong Kah Woh.

Menteri Pertahanan Mohamad Hasan sebelum ini berkata Kementerian Kewangan (MOF) telah menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek pembinaan (LCS) iaitu BNS untuk menjadi anak syarikat kepada MOF.

Bagaimanapun, Mohamad berkata pelaksanaan projek LCS tetap akan dipantau melalui Jawatankuasa Pemantauan Projek (PMC) yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak mempunyai sebarang pilihan kecuali mengambil alih projek itu yang asalnya di bawah tanggungjawab syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Kata Anwar, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM6 bilion untuk projek tersebut dan perlu memastikan ia dapat disiapkan sepenuhnya.