Kerajaan dicabar mengadakan pilihanraya umum selepas April tahun depan bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyahut cabaran Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu supaya menentangnya di Parlimen Sungai Siput.

Pemangku Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin berkata, Anwar bersedia bertanding menentang Samy Vellu jika direstui oleh pihak parti.

"Jika parti meminta Anwar bertanding di Sungai Siput, sudah tentu beliau akan bertanding menentang Samy Vellu di kawasan tersebut.

"Pilihanraya juga perlu bersih dan adil, jika tidak AMK menganggap cabaran Samy Vellu itu sebagai tiada erti," katanya.

Ketika membuat cabaran itu semalam, Presiden MIC itu dilaporkan berkata: "Mana-mana kawasan boleh berjumpa (bertanding). Boleh datang ke kawasan saya di Sungai Siput. Kita bukannya tikus yang penakut".

Bercakap dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan menyuarat jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC di Kuala Lumpur semalam, Samy Vellu berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak boleh menafikan kemenangan MIC dengan majoriti yang lebih besar dalam pilihanraya kecil jok Sabtu lalu.

Piliharaya kecil itu menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi DUN itu selepas calonnya, K Parthiban dari MIC, menewaskan calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan majoriti 1,850 undi.

Lulus projek waktu p'raya

Anwar tidak dibenarkan bertanding dalam pilihanraya selama lima tahun selepas dijatuhkan hukuman penjara enam tahun atas tuduhan salahguna kuasa pada 1999. Anwar dibebaskan pada 2004 dan ini bermakna beliau hanya boleh bertanding selepas April 2008.

Manakala Mahkamah Persekutuan telah membatalkan sabitan tuduhan liwat terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Mengulas lanjut mengenainya, Shamsul Iskandar turut mencabar Samy Vellu supaya tidak menggunakan kuasa sebagai Menteri Kerja Raya untuk meluluskan projek pembangunan sepanjang kempen pilihanraya.

"Kita mendapati Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan projek pembinaan jalanraya dan pelbagai projek lain melalui peruntukan kerajaan sepanjang kempen pilihanraya seperti yang berlaku dalam pilihanraya kecil Ijok.

"Membina jalanraya bukan definasi pembangunan kerana ia merupakan tanggungjawab kerajaan," katanya.

Shamsul Iskandar juga meminta Samy Vellu membersihkan dirinya daripada isu saham Maika dalam MIC yang telah berlarutan sejak lebih 20 tahun lalu.