Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ramai kecam, sindir logo Tahun Melawat Perlis 2024-2025
Diterbitkan: Β Jun 9, 2023 9:01 PM
β‹…
Dikemaskini: 1:19 PM

Logo baru Tahun Melawat Perlis bagi 2024-2025 yang baru didedahkan hari ini mengundang kritikan ramai, termasuk daripada bekas ahli parlimen Kangar Amin Ahmad.

Mempersoalkan pemilihan logo tersebut, Amin yang juga Timbalan Pengerusi PKR Perlis berkata pastinya ada lagi rekaan yang lebih menarik dan bermakna yang boleh dipilih pihak kerajaan negeri.

"Entah kenapa reka bentuk beberapa logo kerajaan nampak agak cincai.

"Saya percaya ramai yang boleh membuat reka bentuk logo yang lebih menarik, menyerlahkan makna," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Amin berkata sektor pelancongan Perlis perlu dilengkapi dengan persediaan yang sesuai bagi menambah baik pengalaman pelancong.

"(Antaranya) daripada sumber maklumat bagi membantu mereka merancang persiapan dan perjalanan, pengalaman sebenar dan memori yang boleh dikenang daripada seluruh pengalaman tersebut," katanya lagi.

Logo Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dipilih menerusi pertandingan dan menggunakan kombinasi lebih lima warna dengan tulisan "Visit Perlis 2024-2025" dan "Perlis Damai dan Menawan".

Ia juga memaparkan beberapa imej antaranya ikan dan mangga harumanis - buah yang cukup sinonim dengan Perlis.

Sejak dimuat naik di laman Facebook Tourism of Perlis Official petang tadi, boleh dikatakan kesemua komen bernada negatif, dengan ada yang sehingga meminta ia ditukar.

Di Twitter pula, Logo tersebut dikongsikan akaun OhMyPerlis dan turut mengundang reaksi yang sama.

"Perlis dan warna warni berpisah tiada. Bosan dan tak ekskusif," kata seorang pengguna.

Beberapa pengguna lain menyifatkannya sebagai logo di era 1980-an dan tidak kena dengan cita rasa zaman sekarang.

Malah, OhMyPerlis memuat naik dua logo yang didakwa sebagai pemenang tempat kedua dan ketiga yang dilihat lebih ringkas dan lebih menonjolkan elemen negeri tersebut.

Lihat Komen
ADS