Dalam pembelaannya terhadap saman fitnah oleh New Straits Times Press (NSTP) dan tiga orang lagi, blogger Ahiruddin Attan berkata, komen yang dibuatnya adalah wajar dan adil serta berjustifikasi.

Ahirudin memfailkan pembelaannya itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur jam 3 petang semalam.

Pengendalikan blog Rocky's Bru itu disaman oleh Timbalan Pengerusi NSTP, Datuk Kalimullah Hassan; Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Faisal Albar; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Hishamudin Aun dan bekas pengarang kumpulan, Brendan Pereira.

Ahiruddin turut menyertakan lebih banyak bukti untuk menyokong pembelaannya bahawa komen yang dibuatnya adalah wajar dan adil apabila mendakwa Pereira seorang penciplak.

Pereira dilanda kontroversi itu selepas didakwa menciplak tulisan seorang wartawan Amerika. Ketika itu beliau bertugas sebagai ketua pengarang kumpulan NST sebelum tempoh perkhidmatannya tamat pada 31 Disember tahun lalu.

Artikel tulisannya didakwa mirip tulisan wartawan Detroit Free Press , Mitch Albom yang bertajuk ''Remembering the day before the day'.

Dalam pembelaannya itu, Ahirudin turut menyebut apa yang didakwanya dua lagi 'bentuk penciplakan Pereira' yang didakwanya dari artikel dalam CNN dan majalah National Geographic dalam artikelya (Pereira) 'Life played out on football pitch' yang disiarkan dalam NSTP pada 3 Julai tahun lalu.

Ruang awam

Ahiruddin juga berkata, beliau membuat komen yang wajar dan adil apabila mengatakan Syed Faisal bertanggungjawab terhadap menutupan W eekend Mail .

November lalu, Weekend Mail digantung penerbitannya untuk tempoh yang tidak ditetapkan apabila edisi 4-5 Novembernya menyiarkan fokus terhadap isu-isu mengenai seks. Pergantungan itu ditarik balik baru-baru ini.

Syed Faisal Albar telah memohon maaf kepada pembaca akhbar tersebut ekoran penerbitan artikel-artikel berkenaan, serta mengakui bahawa artikel serta foto-foto itu boleh menimbulkan kemarahan serta melewati batasan.

Ahiruddin berkata, blog memain peranan dalam menyediakan ruang kepada umum untuk memberi komen mereka mengenai isu tersebut tanpa tapisan, berbanding dengan media cetak aliran perdana melalui Akta Penerbitan dan Mesin Cetak di bawah kawalan parti-parti politik utama seperti Barisan Nasional.

Dalam kenyataan tuntutannya, Syed Faisal merasa difitnah dan menuduh Ahirudin membuat sindiran dalam blognya seolah-olah ketua pegawai eksekutif itu mengedarkan bahan lucah kepada orang awam.

Ahirudin dijadualkan hadir di mahkamah pada 19 Jun depan bersama blogger Jeff Ooi ( Secreenshots ) untuk mendengar permohonan mereka supaya kes tersebut didengar bersama.

Ooi juga disaman oleh NSTP, Kalimullah, Hishamudin dan Pereira. Berita asal