Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Moratorium: Cubaan bunuh diri tak boleh didakwa - Ramkarpal
Diterbitkan:  Jun 11, 2023 8:30 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

Tiada pendakwaan boleh dilakukan bagi kesalahan cubaan membunuh diri berikutan moratorium ke atas pelaksanaan Seksyen 309 Kanun Keseksaan masih lagi berkuat kuasa, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh.

Beliau berkata moratorium itu akan kekal berkuat kuasa sehingga Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan No. 2) 2023 yang antaranya bertujuan memansuhkan Seksyen 309 yang merangkumi kesalahan cubaan membunuh diri, diwartakan.

“Suatu moratorium berkuat kuasa ke atas pelaksanaan seksyen tersebut sementara menunggu usaha pemansuhan kesalahan cubaan bunuh diri ini melalui proses pindaan undang-undang sewajarnya,

“… iaitu mendapat kelulusan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Parlimen serta perkenan Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan dan seterusnya berkuat kuasa dan diwartakan dalam Warta Kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Polis bawa ke hospital untuk rawatan

Oleh itu, Ramkarpal berkata adalah jelas bahawa tiada pendakwaan boleh dijalankan di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan selagi mana moratorium ke atasnya masih berkuat kuasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar berhubung satu kes melibatkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga yang disiasat di bawah seksyen tersebut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan sebuah sekolah menengah di Kajang, dekat Kuala Lumpur, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan dilaporkan berkata kes berkenaan diklasifikasi mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri dan pihaknya masih menyiasat punca sebenar kejadian.

Namun, Ramkarpal dalam kenyataan yang sama berkata pelajar berkenaan tidak pernah ditahan oleh pihak polis sebaliknya dibawa terus ke hospital untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, Kerajaan Perpaduan teguh dengan pendirian untuk memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan mengubah pendekatan terhadap tindakan cubaan membunuh diri daripada yang bersifat punitif kepada rawatan perubatan yang bersifat pemulihan.

“Pendekatan mengutamakan kepentingan kesihatan awam adalah selari dengan hasrat kepimpinan Kerajaan Perpaduan yang prihatin terhadap kesejahteraan rakyat dan komited melaksanakan agenda reformasi undang-undang selaras dengan visi membangunkan Malaysia Madani,” katanya.

Pada 22 Mei lepas, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan No. 2) 2023 bagi memansuhkan kesalahan percubaan bunuh diri telah diluluskan di Dewan Rakyat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS