Dedahkan hasil siasatan terhadap Datuk Zakaria
Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa supaya diumumkan sepenuhnya hasil siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap kes yang membabitkan ahli politik Umno, Datuk Zakaria Mohd Deros.
Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa supaya diumumkan sepenuhnya hasil siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap kes yang membabitkan ahli politik Umno, Datuk Zakaria Mohd Deros.
Semalam, Pengarah BPR Selangor, Mohd Jamidan Abdullah berkata, dua daripada tiga kes terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu telah ditutup kerana kekurangan bukti.
BPR Selangor telah menyerahkan tiga kertas siasatan berasingan kepada bahagian pendakwaan Pejabat Peguam Negara bulan lalu untuk penelitian.
"BPR mesti memberi jaminan kepada rakyat bahawa semua usaha telah dibuat untuk menjalankan siasatan terperinci sebelum membuat kesimpulan (untuk menutup kes tersebut)," kata Presiden TI-M, Tan Sri Ramon Navaratnam dalam satu kenyataan hari ini.
"Kecuali BPR menunjukkan pendedahan selanjut serta ketelusan dalam tugasnya, rakyat tidak akan mempunyai keyakinan sepenuhnya terhadap agensi tersebut," tambahnya.
Menurut beliau, satu-satu cara untuk menjamin kredibilitinya ialah bagi BPR melaporkan secara terus kepada Parlimen untuk dibahaskan oleh ahli-ahli Parlimen, termasuk dari pembangkang.
Istana Zakaria
Zakaria menjadi tumpuan berhubung pembinaan kediaman barunya yang disifatkan sebagai 'istana' di kawasan rumah kos rendah di Kampung Idaman, Pandamaran, tanpa kelulusan Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Zakaria berkata, antara sebab beliau membina rumah banglo 17 bilik itu yang dinamakan 'Istana Zakaria' ialah kerana beliau mempunyai anggota keluarga yang ramai yang terdiri daripada 11 anak dan 11 orang cucu.
Perlantikan semula anak lelakinya serta menantu perempuannya sebagai ahli majlis MPK juga telah mencetuskan kemarahan orang ramai sehingga mendapatkan perhatian Sultan Selangor.
Oktober lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Zakaria meletakkan jawatan sebagai ahli majlis MPK bagi menamatkan kontroversi tersebut.
Dalam satu akhbar kemudiannya, Zakaria dalam keadaan teresak-esak berkata beliau membina banglo tersebut supaya berada lebih dekat dengan para penyokongnnya tetapi tidak menyentuh mengenai jawatan sebagai ahli MPK.
Zakaria tidak meletak jawatan, tetapi beliau tidak dilantik semula sebagai ahli majlis MPK.

