Anwar: Ada masyarakat India di Msia hidup seperti hamba
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu yang menurutnya mengaku menjadi pemimpin kaum India di Malaysia, sedangkan ada di kalangan mereka yang hidup seperti hamba.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu yang menurutnya mengaku menjadi pemimpin kaum India di Malaysia, sedangkan ada di kalangan mereka yang hidup seperti hamba.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menceritakan
pengalamannya semasa berkempen di Ladang Tuan Mee dalam pilihanraya kecil Ijok
baru-baru ini.
"Kaum India hidup bagaikan hamba, tinggal di rumah yang robek tanpa bekalan air dan elektrik. Mereka sanggup pegang kaki pemimpin yang datang berkempen di kampung mereka untuk mendapatkan bantuan.
"Saya ingatkan Samy Vellu, kamu pemimpin kaum India tetapi mereka miskin dan dipinggirkan tetapi kamu mendabik dada mereka menyokong kamu," katanya dalam ceramahnya di Taman Melawar Gombak dekat ibu negara malam tadi yang dihadiri kira-kira 1,000 orang.
Hadir
sama ialah Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa; Naib Presiden Parti
Keadilan Rakyat, Azmin Ali dan calon PKR di Ijok, Tan Sri Khalid Ibrahim. Dalam
pilihanraya kecil Ijok, calon Barisan Nasional (BN), K Parthiban mengalahkan
Khalid dengan majoriti 1,850 undi.
Anwar berkata, beliau dan pimpinan lain berjanji akan terus berjuang membela rakyat dan melakukan perubahan serta menyelamatkan negara ini.
Katanya, Ijok perlu menjadi titik permulaan kebangkitan rakyat untuk merubah pemerintahan negara.
Peralat anak muda
Mengenai cabaran Samy Vellu supaya Anwar bertanding di Sungai Siput,
penasihat PKR berkata, cukuplah Presiden MIC itu berdepan dengan Datuk S
Nallakarupan.
Anwar turut mengkritik Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin dalam isu penyiaran berulangkali Anwar menari ketika berkempen di depan masyarakat India di Ijok.
"Saya tidak hipokrit dalam prinsip perjuangan. Saya menghormati masyarakat India. Apakah kita berpeluk dengan bintang filem? Saya menari tidak sampai satu minit tetapi diulang berkali-kali dalam televisyen.
"Siapa tidak kenal Zainuddin kerana beliau pernah menyerang Islam tetapi kini mahu mempertahankannya." katanya.
Anwar juga menasihatkan anak-anak muda berhenti daripada diperalatkan oleh pemimpin parti pemerintah sepertimana yang berlaku dalam pilihanraya kecil Ijok baru-baru ini.
Katanya, jangan kerana upah RM100, anak-anak muda sanggup menjadi hamba abdi kepada pemimpin negara yang disifatkannya sebagai sebagai lanun.
"Saya sangat malu kerana anak-anak muda kita sanggup diperalatkan dengan diberi upah oleh tauke (pemimpin) negara," katanya.

