Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Radzi tanya PM: Dari mana dapat angka 30,000 tak ambil SPM?

Radzi Jidin hari ini mempersoalkan angka disebut Anwar Ibrahim semasa perdana menteri tu mendakwa ada 30,000 pelajar tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum ini.

Sebaliknya kata Radzi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini mendedahkan hanya terdapat 14,858 pelajar tidak mengambil peperiksaan itu.

“Laporan media mendedahkan 14,858 orang calon tidak menduduki SPM, jadi sekarang ini boleh perdana menteri sebutrkan 30,000 pelajar itu dari mana datang data ini?

“Sama ada menteri pendidikan menipu perdana menteri, saya tidak tahu, atau perdana menteri bercakap sendiri tanpa merujuk mana-mana fakta,” katanya semasa sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Radzi yang pernah menjadi menteri pendidikan di bawah kerajaan terdahulu mendakwa, kenyataan Anwar semalam seolah-olah cuba menyalahkannya berhubung perkara itu.

Namun kata Radzi peperiksaan SPM berkenaan berlaku ketika dia bukan lagi memegang jawatan menteri pendidikan.

Semalam semasa sesi dialog awam bersama pelajar universiti tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam di Bangi, Selangor, Anwar mendakwa seramai 30,000 pelajar direkodkan tidak menduduki peperiksaaan selepas era ancaman Covid-19.

Anwar berkata, perkara itu dimaklumkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang meminta laporan dan kajian teliti dilakukan berkaitan perkara terbabit.

“Ini berlaku pasca-Covid-19 dan keadaan politik yang tidak tentu arah selain tidak ada dasar yang jelas.

“Bagaimana ada menteri pendidikan ketika itu, dan tak boleh pantau anak-anak yang tak ambil peperiksaan," katanya.

Kata Radzi, Anwar sepatutnya tidak bermain politik dalam isu pendidikan dan menggesa perdana menteri supaya "membetulkan fakta" sebelum membuat tuduhan kepadanya.

Beberapa laporan media semalam memetik Anwar sebagai berkata angka 30,000 pelajar yang tidak menduduki peperiksaan itu adalah dalam kalangan calon SPM 2022.

Namun, semakan Malaysiakini menunjukkan perdana menteri tidak menyebut secara khusus tahun yang terlibat.

Pada tahun lalu Radzi - yang ketika itu menteri pendidikan - mengatakan terdapat 24,941 pelajar yang tidak menduduki SPM 2021.

Baru-baru ini pula KPM mendedahkan terdapat seramai 14,858 pelajar tidak menduduki SPM 2022.

Lihat Komen
ADS