Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gosip 'langkah warlords' taktik biasa menjelang pilihan raya, kata Umno

Naib Presiden Umno, Wan Rosdy Wan Ismail, menyifatkan khabar angin mengenai beberapa warlords (pemimpin berpengaruh) Umno akan menyertai Perikatan Nasional (PN) adalah perkara biasa.

Katanya penyebaran khabar sebegitu merupakan salah satu taktik yang digunakan pihak pembangkang sebagai persediaan mereka menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Justeru Wan Rosdy yang juga menteri besar Pahang meminta semua pihak agar tidak melayan atau mempercayai cakap-cakap tersebut.

"Itu khabar angin, jangan percaya lagilah... semua orang boleh bercakap (ada) 10, lima, tiga warlords macam-macam.

"Kita kena faham inilah politik... nak ada PRN ni macam-macam cerita yang entah betul entah tidak," katanya.

Lebih memburukkan keadaan menurut Wan Rosdy apabila ada pihak yang menyebarkan dakwaan tersebut.

"Kita pula menguar-uarkan cerita yang belum tentu sahih lagi tu.

"Sampai masa kita hadapilah (PRN), jadi jangan percayalah.. kita move forward (bergerak ke depan)," katanya ketika ditemui media di Kuantan, hari ini.

Tak dengar apa-apa

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan dibuat beberapa pemimpin PN berkaitan khabar angin yang mendakwa ada beberapa tokoh kanan Umno akan bertukar bahtera tidak lama lagi.

Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, pada 5 Jun lalu mengesahkan khabar angin berkenaan ketika ditemui media di pekarangan Ibu Pejabat PN di ibu negara.

Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin, pula ketika ditanya media mengenai perkembangan sama di lobi parlimen pada Isnin lalu memberitahu satu pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan terdapat warlord Umno dari Pahang turut terbabit dalam khabar angin berkenaan, Wan Rosdy memberitahu setakat ini ia di luar pengetahuannya.

"Saya tak ada dengar pun, tak ada dengar cerita apa-apa," katanya.

Terdahulu Wan Rosdy melawat keluarga Mohd Farhan Mohd Sait dan Nur Azizah Zamri, iaitu ibu bapa kepada Muhammad Athif Fahri yang menghidap penyakit jarang jumpa - Atrofi Otot Spina (SMA) Jenis 1 di Permatang Badak, dekat Kuantan.

Dia turut menyampaikan sumbangan RM50,000 daripada kerajaan Pahang untuk keluarga berkenaan.

Muhammad Athif memerlukan RM9.4 juta bagi mendapatkan rawatan bagi memulihkan penyakit dihidapinya itu.

Lihat Komen
ADS