Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM cadang tubuh pusat kawalan penyakit kebangsaan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mencadangkan penubuhan Pusat Kawalan Penyakit Kebangsaan (NDCC) sebagai persediaan negara menghadapi ancaman wabak.

Menurut Kertas Putih Kesihatan yang dibentangkan di parlimen, pandemik Covid-19 menunjukkan peri pentingnya kesiapsiagaan negara menghadapi wabak, termasuk dengan peralatan perubatan yang diperlukan, alat diagnostik dan stok ubat-ubatan berkaitan yang mencukupi.

"Bagi memastikan tahap kesiapsiagaan dan respons yang cepat terhadap krisis kesihatan awam, NDCC akan ditubuhkan untuk menjadi asas bagi kesiapsiagaan dan respons terhadap penyakit berjangkit dan menyelaraskan pengagihan tenaga kerja untuk kesihatan semasa krisis.

"Pandemik Covid-19 juga menunjukkan betapa pentingnya memastikan ketersediaan peralatan perubatan, diagnostik dan ubatan penting yang mencukupi.

"Oleh itu, strategi baharu akan dibangunkan untuk menangani isu ini termasuk memudahkan peningkatan pengeluaran tempatan," katanya tanpa sebarang perincian lanjut.

Kertas putih itu pada mulanya dijadualkan dibentangkan oleh Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, ia terpaksa ditangguhkan kerana perbahasan mengenai laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengambil masa lebih lama dari jangkaan sebelum ia diluluskan petang tadi.

Sementara itu, sebagai sebahagian daripada rancangannya, KKM melalui kertas putih itu juga akan mencadangkan untuk menambah baik insentif bagi kakitangan penjagaan kesihatan yang ditempatkan di kawasan luar bandar.

"Pengekalan dan laluan kerjaya di luar bandar turut akan dibangunkan termasuk insentif dan fasiliti yang lebih baik bagi menggalakkan anggota kesihatan berkhidmat di kawasan luar bandar," katanya.

Menurut kertas putih itu lagi satu set insentif yang akan diperkenalkan adalah untuk individu yang mengekalkan gaya hidup sihat.

Ia bertujuan menggalakkan orang ramai melakukan lebih banyak aktiviti fizikal, mengamalkan pengambilan makanan sihat, menjalani saringan kesihatan dan memantau status kesihatan diri.

Inisiatif itu, katanya, disokong oleh bukti sains tingkah laku serta pelancaran Rekod Kesihatan Seumur Hidup Elektronik (ELHR) dan inisiatif penerimaan teknologi termasuk peranti boleh pakai.

Ia akan disertakan dengan subsidi yang bersasar untuk meningkatkan penerimaan dalam kalangan golongan pendapatan rendah dan golongan berisiko.

"Insentif juga akan dibangunkan agar majikan, syarikat, syarikat insurans, agensi dan kementerian melaksanakan program yang mendorong amalan gaya hidup sihat dan menyasarkan penambahbaikan pada tahap kesihatan kakitangan.

"Penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan, terutamanya pada peringkat penjagaan kesihatan primer dan komuniti juga akan diberi insentif untuk menyediakan perkhidmatan bersifat promotif dan preventif secara berkesan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS