Mahkamah buat kali ketiga membenarkan Rosmah Mansor mendapatkan sementara pasportnya bagi membolehkan isteri bekas perdana menteri itu ke Singapura untuk melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa Najib.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh hakim P Ravinthran pagi ini membenarkan permohonan peguam Rosmah, Jagjit Singh, berikutan tiada bantahan dikemukakan oleh timbalan pendakwa raya Poh Tih Tinn.

Panel hakim yang turut disertai oleh hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azman Abdullah itu, membenarkan pelepasan sementara pasport berkenaan bagi membolehkan Rosmah terbang ke Singapura mulai hari ini hingga 7 Julai.

Pasportnya kini ditahan oleh mahkamah sementara menunggu rayuan terhadap sabitan rasuah dan hukuman diputuskan.

Pelepasan sementara pernah diberikan kepadanya pada 15 Oktober 2021 untuk ke Singapura ketika Nooryana bersalin serta 21 Mac untuk dia melawat Nooryana dan cucunya yang tidak sihat.

Rosmah dibenarkan berada di Singapura dari 23 Mac hingga 5 Mei untuk tujuan terbabit.

Sementara itu pada Pada 1 Sept tahun lalu, Mahkamah Tinggi (Jenayah) di Kuala Lumpur mendapati Rosmah bersalah dalam kes rasuah berkaitan projek tenaga solar hibrid bernilai RM1.25 bilion dan dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan, yang ditetapkan pada 11 hingga 14 Julai tahun ini.

Menurut permohonan terbaru ini, Rosmah memohon pelepasan semantara untuk di ke Singapura pada 6 Jun hingga 7 Julai tahun ini.

Dalam afidavit bagi menyokong permohonan itu, Rosmah berkata dia ingin melawat Nooryana yang kini menetap di republik itu bersama suaminya, Daniyar Kessikbayev, seorang warga Kazakhstan.

"Atas dasar ini, saya dengan rendah diri ingin memohon kepada mahkamah suatu kebenaran untuk membenarkan pasport antarabangsa saya diambil oleh saya untuk membolehkan saya menggunakannya bagi melawat anak perempuan saya dan keluarganya di Singapura," kata Rosmah.

Katanya lagi, dia dinasihati peguamnya bahawa permohonan itu dibuat secara teratur dan pihak pendakwaan tiada sebarang bantahan berdasarkan surat-menyurat antara pendakwaan dan peguamnya yang bertarikh 26 Mei dan 1 Jun lalu.

Rosmah berkata dia sedar akan natijah sekiranya dia ingkar dan atau enggan menuruti perintah mahkamah untuk hadir ke mahkamah bagi sebutan dan perbicaraan.

"Sehingga hari ini, saya tidak pernah gagal dan/atau cuai untuk menghadiri sebutan dan perbicaraan mahkamah tanpa penjelasan dan/atau alasan yang munasabah," katanya.

Rosmah juga berjanji akan menyerahkan semula pasportnya kepada mahkamah, selewat-lewatnya seminggu setelah dia pulang dari Singapura nanti.

[Berita penuh menyusul]