PM digesa campurtangan dalam isu keluarga Raimah Bibi
Pengerusi DAP, Karpal Singh menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya campurtangan dalam isu hak penjagaan anak di mana bapanya beragama Hindu manakala isterinya beragama Islam.
Pengerusi DAP, Karpal Singh menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya campurtangan dalam isu hak penjagaan anak di mana bapanya beragama Hindu manakala isterinya beragama Islam.
Raimah Bibi Noordin, seorang Islam, serta enam orang anaknya telah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 2 April lalu dan ditempatkan di pusat pemulihan akidah.
Dua minggu kemudiannya, suaminya P Marimuthu (foto) telah memfailkan permohonan habeas corpus, mendakwa anggota keluarganya beragama Hindu manakala tindakan Jais menahan isteri dan anak-anaknya itu adalah salah di sisi undang-undang.
Pada 3 Mei, Marimuthu mendapat hak penjagaan anak-anaknya selepas satu persetujuan dicapai dengan Raimah di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Raimah bagaimanapun tidak dibenarkan tinggal bersama suaminya, tetapi dibenarkan menemui anak-anaknya itu.
Ekoran persetujuan tersebut, Marimuthu, seorang penoreh getah, telah menarik balik permohonan habeas corpus tersebut.
Ketika ditemui di kongres khas DAP semalam, Karpal berkata, beliau difahamkan Raimah kini tidak tahu kepada siapa hendak mendapatkan bantuan.
"Ini adalah satu dilema yang besar bagi Raimah Bibi jika balik semula ke rumah Marimuthu, dia akan didakwa melakukan kesalahan khalwat.
"Dia tidak tahu mana hendak pergi. Perkara ini perlu diambil serius kerana sebuah keluarga tidak sepatutnya dipecahkan. Malah, semua agama (menekankan) penyatuan keluarga," kata Karpal, yang juga peguam Marimuthu.
'Bertindaklah sekarang'
Beliau menggesa Abdullah supaya mencari 'penyelesaian yang dapat diterima' terhadap dilema tersebut, sambil menegaskan perkara itu memerlukan pertimbangan serius kerana masalah kompleks seumpama itu, akan berbangkit lagi pada masa depan.
"(Raimah) memberitahu mahkamah, beliau mahu berpegang teguh kepada ajaran Islam, tetapi Marimuthu beragama Hindu. Bagaimana dengan kedudukan anak-anak mereka? Adakah mereka beragama Hindu atau Islam? Separuh Hindu atau separuh Islam?" tambahnya.
Sebelum ini, pegawai Jais telah pergi ke rumah pasangan tersebut di Kampung Baru Tambahan, Ulu Yam pada 2 April, di mana Marimuthu mendapat tahu yang isteri yang dikahwininya sejak 21 tahun lalu, sebenarnya seorang Islam.
Ekoran itu, Raimah Bibi dan enam anak mereka berusia empat hingga 12 tahun telah ditempatkan di pusat pemulihan akidah.
Marimuthu mendakwa, dia tidak tahu isterinya seorang Islam sebelum mereka berkahwin dan sejak itu kedua-dua mengamalkan ajaran Hindu. Malah, mereka berkahwin di kuil Hindu.
Perkahwinan tersebut tidak didaftar dan kerana itu tidak diikhtiraf di segi undang-undang.

