Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DUN Kota lama jadi 'rebutan' parti komponen PH Kelantan

Jika keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-bagi kawasan parlimen Kota Bharu dijadikan kayu ukur, gabungan BN dan PH mempunyai peluang cerah mencatat kemenangan di kerusi dewan undangan negeri (DUN) Kota Lama.

Berdasarkan undian pada pemilihan kerusi parlimen pada Nov tahun lalu, undi yang diterima PH dan BN - jika digabungkan - adalah lebih besar.

BN mendapat 4,268 undi, manakala PH pula sebanyak 7,690. Dengan andaian kali ini pengundi kedua-dua parti kekal setia dan keluar mengundi, BN-PH boleh mengumpu 11,958 undi berbanding PAS yang menerima 8,987 pada 2022.

Berdasarkan agihan kerusi antara kedua-dua parti yang bekerjasama pada pilihan raya negeri (PRN) Kelantan nanti, PH diberikan mandat untuk bertanding di kerusi yang disandang Adun PAS, Annuar Tan Abdullah, itu.

Sumber memberitahu Malaysiakini, secara asasnya parti-parti dalam PH sudah mencapai kata sepakat di 13 kerusi DUN kecuali untuk Kota Lama yang masih belum tercapai kata sepakat di peringkat negeri.

“Setakat ini kerusi DUN Kota Lama saja yang belum diputuskan calon daripada parti mana akan bertanding.

“Perkara ini dikatakan akan dirunding terus di peringkat pimpinan pusat memandangkan perbincangan peringkat negeri tidak mencapai kata sepakat.

“Sama ada PKR, Amanah dan DAP, masing-masing menuntut kerusi DUN Kota Lama,” kata sumber yang enggan namanya disiarkan itu.

Difahamkan daripada 13 kawasan yang sudah dipersetujui, Amanah dan PKR masing-masing diberikan enam kerusi DUN, manakala baki satu lagi untuk DAP.

Sementara itu sumber lain pula memberitahu, tuntutan kerusi DUN Kota Lama sebenarnya membabitkan antara PKR dan Amanah sahaja.

Hal itu kerana, katanya, DAP sebelum ini hanya menuntut sekurang-kurangnya satu kerusi untuk mereka meletakkan calon.

Disebabkan DAP sudah diberikan satu kerusi dan dipersetujui semua, justeru mereka tak wajar lagi menuntut DUN Kota Lama.

“Kini terserah kepada pimpinan pusat melalui jawatankuasa perundingan untuk menentukan sama ada PKR atau Amanah akan bertanding di situ,” kata sumber dalaman PH.

Lihat Komen
ADS