Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata perbuatan mendedah keterangan ataupun dokumen yang dikemukakan kepada jawatankuasa itu melanggar undang-undang serta mengganggu siasatan jawatankuasa itu.

"PAC memandang serius terhadap perbuatan menyiarkan apa-apa keterangan dan dokumen yang dikemukakan kepada PAC sebelum PAC mengemukakan laporannya kepada majlis (Parlimen).

"Perbuatan ini jelas melanggar Peraturan Mesyuarat 85 PPMMDR dan Seksyen 9(m) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) sekali gus mengganggu siasatan, rumusan serta syor PAC," kata pengerusinya Mas Ermiyati Samsudin pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Mas Ermieyati menyatakan peraturan tersebut hanya tertakluk kepada anggota PAC dan ahli Dewan Rakyat sahaja, dan bukannya media.

Pada masa sama, dia meminta agar media hanya mendapatkan perkembangan berkenaan prosiding daripada PAC sendiri, terutama dirinya sebagai pengerusi, dan bukan daripada "sumber yang tidak sahih".

Terdahulu, Mas Ermiyati meluahkan rasa kesal dengan tindakan saksi yang dipanggil untuk memberi keterangan dalam siasatan kapal tempur pesisir (LCS) apabila mendedahkan inti pati prosiding kepada media.

Jelasnya PAC sudah mengutuskan surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, mengenai pelanggaran itu.

Dalam pada itu ahli Parlimen Masjid Tanah itu memaklumkan dua laporan berhubung perkembangan pembinaan LCS bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan dibentang di Parlimen untuk dibahaskan pada sesi persidangan Oktober nanti.

Dia berkata laporan itu berkenaan perkembangan proses pembinaan LCS yang dicapai dari Oktober 2022 sehingga Mei 2023 dan dari Jun 2023 sehingga September 2023.

Katanya, laporan itu selepas PAC memanggil memanggil Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Shahrazat Ahmad, Ketua Lembaga Pengarah BNS Ahmad Nazim Abd Rahman serta CEO BNS Azhar Jumaat pada 10 Jun lalu.

"PAC ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Kementerian Pertahanan, TLDM dan BNS ke atas kerjasama yang telah diberikan.

"Seterusnya, PAC akan memanggil Kementerian Pertahanan pada September bagi mendapatkan penjelasan berkenaan kemajuan projek pembinaan LCS bagi bulan Jun 2023 sehingga September 2023," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS