Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Noh Omar tak tanding PRN, beri peluang muka baru
Diterbitkan:  Jun 18, 2023 12:07 PM
Dikemaskini: 4:07 AM

Bekas pengerusi BN Selangor Noh Omar berkata dia tidak akan diturunkan pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang dan sebaliknya akan memainkan peranan sokongan.

Noh berkata dia merancang untuk menjelajah ke seluruh Selangor bagi membantu pembangkang.

"Saya tidak bertanding dalam PRN nanti, rasa cukuplah setakat ini dan mahu beri peluang kepada muka baru kerana di Selangor sendiri ramai tokoh muda berwibawa boleh diketengahkan.

"Namun saya akan turun padang berkempen kerana mahu meneruskan perjuangan saya untuk menewaskan PH di Selangor selepas BN kalah dalam Pilihan Raya Umum 2008 (PRU2008) lalu," katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Bercakap di luar majlis pelancaran kempen Perikatan Nasional di Bangi malam tadi, Noh yakin PN berpeluang menang di Selangor kerana kemungkinan faktor pertembungan berbagai penjuru pada PRN akan datang.

"Sebab itulah semasa menjadi Pengerusi Perhubungan Umno dulu, saya beritahu pucuk pimpinan supaya memastikan tidak berlaku pertembungan tiga penjuru di Selangor iaitu antara BN, PH dan PAS kerana ia akan merugikan parti," katanya.

Pada awal 2022, Noh melobi kepimpinan Umno membenarkan pakatan BN-PAS hanya untuk Selangor.

Itu tidak menjadi kenyataan kerana kepimpinan Umno tidak gemar dengan sikap PAS yang memihak kepada Bersatu.

Noh antara pemimpin Umno yang dipecat parti itu sejak Disember tahun lalu, selain Khairy Jamaluddin dan Annuar Musa. Pun begitu, hanya Noh dan Annuar yang secara rasmi mengisytiharkan mereka menyokong PN.

Lihat Komen
ADS