mk-logo
Berita
Jika PAS terus tadbir, Kelantan kaya melombong nadir bumi - Timb MB
Diterbitkan:  Jun 18, 2023 1:23 PM
Dikemaskini: 5:23 AM

Kelantan akan menjadi kaya-raya dan makmur jika PAS terus memerintah negeri itu dan mengeksploitasi unsur nadir bumi yang kaya, menurut pemimpin kanannya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah berkata kerajaan negeri kini sedang merangka laluan untuk melombong nadir bumi, dianggarkan bernilai RM125 bilion.

"Dasar untuk pengeluaran unsur nadir bumi sudah ada di peringkat Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang akan diikuti oleh kerajaan negeri.

"Kita akan berhadapan cabaran dalam menguruskan REE, kepakaran atau ahli profesional diperlukan dan insya-Allah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) kita akan susun sebaiknya pengurusan hasil bumi berkenaan.

Gambar fail, imej satelit perlombongan nadir bumi di Hulu Perak.

"Kerajaan sebelum ini dikaitkan dengan kebergantungan kepada hasil balak, jadi bila adanya REE selepas ini kayu tidak lagi perlu ditebang dan itu sememangnya menjadi perancangan kerajaan negeri," katanya seperti dipetik Harian Metro.

Mohd Amar berkata demikian pada majlis ceramah PAS yang diberi nama Jelajah Ceramah Pakat Pertahan di Pekarangan Pasar Tok Guru, Cabang Tiga, di Pengkalan Chepa malam tadi.

Daerah Jeli, Tanah Merah dan Gua Musang telah dikenal pasti sebagai kawasan yang mempunyai sejumlah besar nadir bumi, mineral yang penting untuk pembuatan perkakas elektronik moden.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Amar, yang juga naib presiden PAS, berkata parti itu telah mengenal pasti beberapa calon baru bagi pilihan raya negeri.

Gambar fail, perlombongan nadir bumi di Gerik.

Mereka, jelasnya termasuk individu yang mempunyai kepakaran yang diperlukan untuk menguruskan industri nadir bumi dan memaksimumkan keuntungan.

"Kita perlu pastikan calon yang diperkenalkan bukan sahaja pakar mengenai agama tetapi dalam bidang lain.

"Mereka juga perlu diluluskan oleh Majlis Syura Ulama sebelum disemak semula di peringkat bawah bagi menentukan bahawa mereka benar-benar layak.

"Kita akan pastikan ada pelapis yang bijak untuk mentadbir negeri dengan lebih baik selain mensasarkan kemenangan enam negeri pada PRN nanti seterusnya menjadi pucuk pimpinan baharu dalam kerajaan persekutuan," kata Mohd Amar lagi.

Lihat Komen
ADS