Bahagian PKR calon Abdul Rahman diarah mesyuarat semula
Empat bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kedah termasuk tiga daripadanya yang mencalonkan bekas Timbalan Presiden, Abdul Rahman Othman untuk bertanding jawatan presiden dalam Kongres Nasional bulan depan telah diarahkan supaya bermesyuarat semula.
Empat bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kedah termasuk tiga daripadanya yang mencalonkan bekas Timbalan Presiden, Abdul Rahman Othman untuk bertanding jawatan presiden dalam Kongres Nasional bulan depan telah diarahkan supaya bermesyuarat semula.
Tiga bahagian yang mencalonkan Abdul Rahman ialah Langkawi, Pokok Sena dan Padang Serai. Bahagian Kulim-Bandar Baru pula mencalonkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
PKR Kedah mempunyai 10 bahagian. Lima bahagian lagi ialah Sungai Petani, Alor Star, Kubang Pasu, Kuala Kedah dan Jerai.
Satu lagi bahagian yang mencalonkan Abdul Rahman ialah Merbok. Lima bahagian di Kedah mencalonkan Anwar manakala penyandang jawatan tersebut, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail menerima satu pencalonan.
Kongres Nasional PKR akan diadakan di Seremban pada 25 Mei ini.
Ketua bahagian Padang Serai, Mat Saad Mat Din berkata, pihaknya menerima surat dari Jawatankuasa Pemilihan (JKP) PKR minggu lalu dan diarahkan supaya mengadakan mesyuarat pemilihan sekali lagi.
JKP, katanya, memberi tiga sebab mengapa bahagian Padang Serai perlu mengadakan mesyuarat pemilihan semula.
Arahan dipertikaikan
Pertama, ahli yang hadir tidak membayar yuran tahunan; kedua, status ahli yang mengundi dipertikaikan dan ketiga, mesyuarat Angkatan Muda (AMK) tidak cukup korum.
"Kami tidak puas hati dengan dakwaan itu dan mahukan JKP menyenaraikan ahli PKR bahagian Padang Serai yang tidak membayar yuran tahunan.
"Bahagian Padang Serai tidak akan mengadakan mesyuarat sekali lagi walaupun akan dikenakan tindakan oleh ibu pejabat parti," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ketua PKR bahagian Kulim-Bandar Baru, Adlizuan Shafizal Abdul Razak berkata, arahan JKP supaya mengadakan mesyuarat pemilihan sekali lagi sebagai `pelik dan mengelirukan.'
Katanya, Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian terkejut dan tidak gembira dengan tindakan JKP tersebut.
"Kami bersikap tunggu dan lihat, adakah ada pihak tertentu yang ada di belakang arahan JKP itu?" katanya.
Bekas Pengerusi PKR Kedah, Mochtar Mansur mendakwa tindakan mengarahkan bahagian tersebut mengadakan mensyuarat pemilihan sekali lagi ada hubung-kait dengan pemilihan dalam Kongres Nasional.
Katanya, perkembangan ini tidak sesuai kepada PKR yang memperjuangkan kebebasan demokrasi di negara ini.

