Paling Popular
Terkini

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil memaklumkan dia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengadakan pertemuan dengan Telegram esok.

Fahmi berkata demikian ketika ditanya jika dia telah bertemu dengan Telegram berhubung kerisauan awam berkaitan isu keselamatan siber di platform itu.

"Mereka (Telegram) nyatakan yang mereka sedia untuk bertemu kita (Fahmi dan SKMM)," katanya ketika sidang media selepas acara Kempen Kesedaran Keselamatan Siber, Ekonomi Digital dan Keterhubungan di Kuala Lumpur, hari ini.

Awal bulan ini, Fahmi menggesa Telegram untuk bertemu dengan SKMM berhubung pelbagai isu keselamatan siber.

Dia berkata walaupun menerima syor yang tegas daripada SKMM, kementeriannya memberi peluang kepada Telegram untuk berhubung secara terus dengan suruhanjaya tersebut.

Katanya lagi, dengan bekerjasama dengan SKMM dan BUkit Aman, isu berkaitan penyebaran kandungan lucah, jualan dadah, penipuan dan maklumat palsu yang meluas di platform itu dapat ditangani dengan berkesan.

Pada 28 Mei, Telegram dilaporkan berkata pihaknya tidak bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital kerana enggan terlibat dalam "sebarang bentuk tapisan politik".

Dipetik New Straits Times, jurucakapnya Remi Vaughn sebagai berkata pihaknya secara giat memantau kandungan berbahaya dalam platform itu, termasuk penjualan bahan terlarang dan lucah.

Lihat Komen
ADS