PSB sokong Anwar supaya kesilapan lalu dapat diperbetulkan
Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Wong Soon Koh menggesa ahli-ahli partinya supaya menyokong penuh kepada kerajaan persekutuan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Berucap pada majlis makan malam Gawai Dayak PSB pada Sabtu lalu, di Sibu, Wong berkata dengan berbuat demikian mereka dapat memastikan kerajaan akan kekal stabil dan kuat dalam menghadapi begitu banyak kuasa perkauman yang memecahbelahkan dan ekstremisme agama.
"Ini adalah pendirian PSB bahawa kerajaan perpaduan di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim harus diberi semua peluang memperbetul segala kesalahan dilakukan kerajaan terdahulu.

"Diharapkan pentadbiran baharu di bawah pimpinan Anwar Ibrahim, dengan tindakan tegas dan keberanian yang mengagumkan, dapat melaksanakan objektifnya Malaysia Madani untuk menghapuskan rasuah dan ketidakcekapan serta menghapuskan segala kuasa perpecahan di kalangan rakyat kita," katanya, yang dipetik oleh Utusan Borneo.
Ini adalah kali pertama PSB menyuarakan sokongan terbuka buat pentadbiran Anwar.
PSB pada masa ini tidak mempunyai sebarang ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Bagaimanapun, mereka mempunyai tiga Adun dalam DUN Sarawak yang mempunyai 82 kerusi.

Wong, yang juga adalah ketua pembangkang DUN Sarawak juga mengikrarkan sokongan penuh kepada Premier Sarawak Abang Johari Openg.
"Dalam memenuhi keperluan asas rakyat seperti kemudahan infrastruktur, bekalan air dan elektrik, perhubungan jalan raya, menambah baik kemudahan sekolah dan kesihatan, keperluan perumahan lebih baik dan liputan Internet dan banyak lagi sambil melaksanakan program dan rancangan yang berwawasan dan berpandangan jauh mencapai negeri maju dengan masyarakat berpendapatan tinggi menjelang 2030," katanya.
Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Presiden PSB dan Adun Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa, Setiausaha Agung PSB dan Adun Ba'Kelalan Baru Bian dan pengerusi pengelola Wilson Entabang.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/12/16ab440acfa0dde772f1fb95ad32f675.jpg)
