Terowong Smart dibuka percuma mulai Isnin ini
Kadar tol laluan trafik Terowong SMART (Projek Jalan dan Terowong Pengurusan Air Banjir) akan diumumkan sebulan selepas ia dibuka secara percuma mulai jam 1.30 tengahari 14 Mei ini.
Kadar tol laluan trafik Terowong SMART (Projek Jalan dan Terowong Pengurusan Air Banjir) akan diumumkan sebulan selepas ia dibuka secara percuma mulai jam 1.30 tengahari 14 Mei ini.
"Saya tidak boleh beritahu sekarang kerana perlukan kelulusan daripada Jemaah Menteri. Tetapi, saya minta biarlah ia berpatutan," kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu.
Katanya, beliau juga telah meminta Jemaah Menteri mengurangkan bayaran tol yang ditetapkan supaya tidak membebankan orang ramai yang mungkin menggunakan laluan itu berulang kali sepanjang hari.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, laluan trafik sepanjang 6km itu pada asalnya dijadual dibuka pada 9 April lalu, tetapi ditangguhkan kerana bahagian bawah terowong itu belum siap sepenuhnya.
"Bahagian bawah untuk alirkan air tidak siap, sebab itu kita buka lewat sikit," katanya kepada pemberita sebelum merasmikan Konvensyen Badan Perhubungan MIC Wilayah Persekutuan hari ini.
Pusat bandaraya
Projek bernilai RM1.9 bilion itu, yang mula dilaksanakan pada Januari 2003 terdiri daripada satu tingkat laluan air sejauh 10 km dan dua tingkat laluan trafik, iaitu satu laluan menghala ke pusat bandaraya dan satu lagi laluan keluar.
Kerja-kerja pembinaannya dilaksanakan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd iaitu kerjasama antara Gamuda dan MMC.
Samy Vellu yang juga presiden MIC berkata, laluan terowong itu akan menghubungkan pengguna dari Jalan Tun Razak dan Jalan Davis ke lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, berhampiran pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Ia bagi memudahkan pengguna untuk ke pusat bandar kerana melalui laluan itu hanya akan mengambil masa lima hingga 10 minit sahaja berbanding lebih 40 minit mengikut laluan sedia ada ketika waktu puncak.

