Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amanah tuntut Umno berlaku adil, mahu satu kerusi di DUN Hulu Selangor
Diterbitkan:  Jun 20, 2023 3:57 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Amanah Bahagian Hulu Selangor hari ini menggesa agar pemimpin parti politik dalam gabungan kerajaan persekutuan supaya bersikap adil dalam pembahagian kerusi pada enam pilihan raya negeri akan datang.

Menyentuh khususnya mengenai pengagihan kerusi DUN Selangor dalam Hulu Selangor, ketua pemuda bahagian itu, Abdul Mun'im Roslin menyatakan rasa tidak bersetuju dengan hasrat Umno untuk bertanding di kerusi Hulu Bernam dan Batang Kali.

Dalam satu kenyataan, dia berkata hujah bahawa kedua-dua kerusi berkenaan adalah kerusi tradisi adalah bersifat subjektif malah bukan jaminan bahawa kerusi tersebut boleh dimenangi.

“Kami juga ingin mengingatkan bahawa asas kepada pembahagian kerusi mestilah adil dan seimbang dari segi komposisi parti yang bertanding mewakili kerajaan perpaduan dalam satu-satu Parlimen.

“Sandaran kepada hujah bahawa kerusi yang disebut merupakan kerusi tradisi adalah bersifat subjektif malah bukan jaminan bahawa kerusi tersebut pasti dimenangi.

“Sebaliknya keupayaan untuk menampilkan kesepaduan dalam pembahagian kerusi seharusnya menjadi kompas utama dalam menentukan pembahagian kerusi,” katanya.

Kerusi DUN Hulu Bernam kini disandang oleh Rosni Sohar dari Umno, yang telah memegangnya selama  penggal kedua sebagai wakil rakyat kawasan itu. Ia juga adalah kerusi tradisi bagi Umno.

Batang Kali, pula adalah satu lagi kerusi bawah parlimen Hulu Selangor, dan pernah menjadi kubu kuat Umno sehingga dikalahkan buat kali pertama oleh Bersatu pada pilihan raya umum 2018.

Mohd Amran Sakir dari Amanah pernah bertanding di kerusi Hulu Bernam pada Pilihan Raya Umum ke-14 tetapi tewas kepada Rosni, manakala Bersatu bertanding di Batang Kali pada 2018, ketika itu sebagai sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan yang Amanah adalah antara parti komponennya.

Tambahnya lagi, Abdul Mun'im berkata walaupun bahagian Amanah Hulu Selangor menghormati pandangan semua pihak dalam kerajaan perpaduan, mereka tidak seharusnya diketepikan sewenang-wenangnya dalam proses pembahagian kerusi di Hulu Selangor.

“Justeru kami menuntut supaya sekurang-kurangnya satu kerusi diberikan kepada Amanah Hulu Selangor sama ada DUN Hulu Bernam atau Batang Kali dengan mengambil kira rekod perkhidmatan dan jentera kami yang telah bersiap sedia untuk bekerja menjelang PRN yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS