PKR Kedah: Arahan tiada kaitan dengan pencalonan Abdul Rahman
Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah menjelaskan bahawa arahan kepada bahagian Langkawi, Pokok Sena dan Padang Serai supaya bermesyuarat semula, tiada kena mengena dengan keputusan mereka mencalonkan Abdul Rahman Othman bertanding jawatan presiden PKR.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah menjelaskan bahawa arahan kepada bahagian Langkawi, Pokok Sena dan Padang Serai supaya bermesyuarat semula, tiada kena mengena dengan keputusan mereka mencalonkan Abdul Rahman Othman bertanding jawatan presiden PKR.
Sebaliknya, Pengerusi PKR Kedah, Johari Abdul berkata, tiga bahagian tersebut serta bahagian Bahagian Kulim-Bandar Baru diarahkan bermesyuarat semula oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JKP) kerana mereka gagal mematuhi peraturan mesyuarat.
"Arahan JKP itu tiada kena mengena dengan tiga bahagian tersebut mencalonkan bekas Timbalan Presiden Abdul Rahman Othman bertanding jawatan presiden dalam Kongres Nasional akan datang.
"Secara kebetulan sahaja, ketiga-tiga bahagian yang diarahkan bermesyuarat semula itu, telah mencalon Abdul Rahman untuk bertanding jawatan presiden... tidak ada sebarang agenda tersebunyi PKR negeri atau JKP," katanya.
Johari menjelaskan demikian ketika dihubungi malaysiakini hari ini untuk mengulas arahan JKP supaya bahagian-bahagian berkenaan mengadakan mesyuarat pemilihan sekali lagi.
Satu lagi bahagian yang mencalonkan Abdul Rahman ialah Merbok. Bahagian Kulim-Bandar Baru pula mencalonkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding jawatan Presiden dalam Kongres Nasional di Seremban mulai 25 Mei ini.
PKR mempunyai 10 bahagian di Kedah. Lima bahagian lagi ialah Sungai Petani, Alor Star, Kubang Pasu, Kuala Kedah dan Jerai.
Tidak bayar yuran
Lima bahagian di Kedah mencalonkan Anwar manakala penyandang jawatan tersebut, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail menerima satu pencalonan.
Johari berkata, antara kesalahan yang menyebabkan bahagian berkenaan terpaksa bermesyuarat semula ialah tidak cukup korum, ahli tidak membayar yuran dan bantahan dari ahli.
"Bahagian Padang Serai, sebagai contohnya, diarah bermesyuarat sekali lagi kerana ahli tidak puas hati dengan perjalanan mesyuarat yang tidak mematuhi peraturan," katanya.
Johari berkata, pemantau mesyuarat membuat laporan kepada Badan Perhubungan PKR Kedah sebelum dihantar kepada Setiausaha Agung, Datuk Kamarul Baharin Abbas yang seterus dimajukan kepada JKP untuk siasatan penuh sebelum keputusan dibuat.
Katanya, JKP menjalankan siasatan berdasarkan laporan yang dibuat oleh pemantau mesyuarat bahagian yang dilantik oleh PKR negeri.
Sementara itu, Setiausaha PKR negeri, Abdul Hamid Othman berkata, pihaknya tidak mempunyai agenda untuk menghukum bahagian yang mencalonkan Abdul Rahman
Katanya, tindakan JKP mengarahkan bahagian-bahagian tersebut bermesyuarat semula adalah semata-mata untuk memastikan bahagian berkenaan tidak dikenakan tindakan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
'Pelik dan mengelirukan'
"JKP bertindak berdasarkan peraturan dan bukannya kerana bahagian berkenaan mencalonkan Abdul Rahman. Sebagai parti yang mengamalkan demokrasi, mereka bebas mencalonkan sesiapa saja," katanya.
Katanya, PKR negeri tidak terbabit dengan arahan JKP supaya empat bahagian terbabit bermesyuarat semula kerana tugas badan perhubungan negeri hanya menghantar laporan mengenai perjalanan mesyuarat kepada setiausaha agung parti.
Arahan JKP itu telah menimbulkan rasa tidak puashati di kalangan ketua bahagian dan menyifatkannya sebagai tidak sesuai kerana PKR memperjuangkan kebebasan demokrasi di negara ini.
Semalam, bekas Pengerusi PKR Kedah, Mochtar Mansur mendakwa tindakan tersebut ada kaitan dengan pemilihan dalam Kongres Nasional.
Manakala Ketua PKR bahagian Kulim-Bandar Baru, Adlizuan Shafizal Abdul Razak menyifatkan arahan JKP itu sebagai `pelik dan mengelirukan.'
Katanya, Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian Kulim-Bandar Baru terkejut dan tidak gembira dengan tindakan JKP tersebut.
"Kami bersikap tunggu dan lihat, adakah ada pihak tertentu yang di belakang arahan JKP itu?" katanya.

