Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang mempunyai 45 kerusi secara rasmi dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN).

Ia susulan pengumuman Menteri Besar Ahmad Yakob pada sidang medianya pada Rabu lepas bahawa pembubaran DUN itu mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Pembubaran DUN bagi penggal ke-14 itu dilakukan empat hari lebih awal berbanding tempoh mandat DUN yang akan berakhir secara automatik pada 26 Jun ini.

Melalui Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, PAS mendominasi Kelantan apabila menang 37 kerusi berbanding hanya lapan buat BN.

Namun, Adun Ayer Lanas, Mustapa Mohamed, kemudian bertindak meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu.

PRN Kelantan kali ini menyaksikan BN membuat kerjasama politik dengan PH, selain PAS - yang menerajui Kelantan sejak 1990 - juga tidak bersendirian apabila membentuk kerjasama dengan Bersatu menerusi PN.

Ketika ditemui media semalam, Setiausaha PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat mengesahkan parti itu akan bertanding di 39 kerusi DUN manakala Bersatu akan menentang BN di enam kerusi.

Bagi BN dan PH, kedua-dua gabungan berkenaan juga telah menyelesaikan pembahagian kerusi masing-masing.

Ketua Penerangan Umno Kelantan Zawawi Othman dilapor berkata calon BN akan diletakkan di 31 kerusi manakala 14 kerusi diberikan kepada PH.

Kelantan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN termasuk Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

- Bernama