Gerakan samakan PN dengan Qu Yuan
Pada 2,300 tahun lalu, Qu Yuan membunuh diri dengan melemaskan diri ke dalam sungai, kerana terlalu sedih negaranya Chu dijajah kerajaan lain.
Simbol patriotisme itu kini dikenang saban tahun dalam amalan makan zongzi (ketupat Cina) pada perayaan Duan Wu.
Bagi presiden Gerakan Dominic Lau, pengalaman Qu Yuan mempunyai banyak persamaan dengan “penganiayaan” terhadap pemimpin PN.
“Sejak kerajaan campuran dibentuk oleh PH dan BN selepas PRU -15 tahun lalu, pemimpin PN dapat banyak tuduhan, seperti Pengerusi PN Muhyiddin Yassin juga didakwa dengan tuduhan rasuah yang tidak wujud.
“Sebaliknya, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang terjerat dengan kes rasuah yang kini menjadi timbalan perdana menteri,” kata Lau dalam perutusan perayaan Duan Wu 2023.
Muhyiddin berdepan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan Jana Wibawa, program untuk membantu kontraktor bumiputera berdepan kesan pandemik Covid-19.
Pengerusi PN mendakwa dia menjadi mangsa pendakwaan terpilih.
Zahid pula berdepan 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Yayasan Akalbudi, yang ditubuhkan untuk membantu orang miskin.
Zahid juga mendakwa pendakwaan terhadapnya bermotifkan politik.

Lau juga mendakwa kerajaan memerintah lebih 200 hari, tetapi tiada sebarang perubahan dan kehidupan rakyat juga tidak bertambah baik.
“Sebaliknya, kehidupan rakyat semakin sukar.
“Kerajaan bukan sahaja gagal menyelesaikan masalah kenaikan harga barang, malah juga menambah beban rakyat,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/cbd5ee598cdc078e560bc897e7f6663e.jpg)
