Pemuda Gerakan gesa Maybank hentikan polisi pilih firma guaman
Pemuda Gerakan hari ini menggesa Malayan Banking Bhd supaya menghentikan segera polisinya yang mensyaratkan pegangan minima 50 peratus ekuiti bumiputra dalam penal syarikat peguamnya sekarang dan yang baru dipilih.
Pemuda Gerakan hari ini menggesa Malayan Banking Bhd supaya menghentikan segera polisinya yang mensyaratkan pegangan minima 50 peratus ekuiti bumiputra dalam penal syarikat peguamnya sekarang dan yang baru dipilih.
"Kita kecewa dengan polisi Malayan Banking Bhd itu yang bercanggah dengan seruan Perdana Menteri untuk menggalakkan meritokrasi," kata Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Keong.
Katanya, aspek kecekapan dan prestasi peguam berkenaan serta kemampuan mereka menyediakan perkhidmatan yang tinggi standardnya, sepatutnya menjadi syarat utama dilantik sebagai penal peguam bank berkenaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Mah berkata, pelantikan itu tidak sepatutnya dibuat berdarkan kepada pertimbangan kuota mengikut kaum.
Di bandar-bandar kecil, tambahnya, kebanyakan peguam melakukan kerja secara individu.
Persaingan adil
"Jika (syarat) pegangan minimum 50 peratus ekuiti bumiputera ini mahu dikuatkuasakan, maka bermakna semua peguam berkenaan, tidak dapat melakukan sebarang perkhidmatan untuk pihak bank tersebut," katanya.
Menurutnya, impak globalisasi dan liberalisasi perdagangan dalam ekonomi sekarang menekankan pentingnya syarikat Malaysia menjadi lebih bersemangat tinggi dan kompetitif.
"Sebagai kumpulan bank terbesar di Malaysia, Maybank harus mengamalkan mekanisme pasaran bebas dan mengambil pendekatan yang fleksibel untuk menggalakkan persaingan yang adil dan saksama, bukannya mengenakan polisi berorientasikan kaum yang memberi kesan besar terhadap firma guaman," katanya.
Sehubungan itu, katanya, Pemuda Gerakan ingin menggesa kerajaan supaya mengeluarkan garispanduan yang serupa dengan garispanduan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) Johor berhubung perkara tersebut.
Katanya, bagi WPI, syarikat yang menyediakan perkhidmatan guaman dan perakaunan dikecualikan daripada syarat ketat pemilikan ekuiti bumiputera bagi menggalakkan perkongsian bistari, kecemerlangan, kecekapan, dan meritokrasi dalam sektor perkhidmatan perakaunan, pembankan dan perundangan.

