Guan Eng jawab Tan: Mahkamah Rayuan masih ada
Lim Guan Eng "mengingatkan" Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng bahawa masih ada ruang untuk dia meneruskan tindakan undang-undang dalam pertikaian mengenai saman mereka.
Kenyataan itu dibuat pengerusi DAP berkenaan sebagai reaksinya terhadap pandangan Tan yang meminta dia bersikap "telus" pada masa depan.
Ia disebutkan oleh Tan selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak saman fitnah yang difailkan Lim dan akhbar berbahasa Inggeris The Star semalam.
Lim yang juga bekas setiausaha agung DAP memfailkan saman itu pada Mac tahun ekoran pendapat Tan yang diterbitkan dalam ruangan Letter to the Editor akhbar The Star.
Hakim Quay Chew Soon memutuskan ulasan yang dibuat Tan tidak berunsur fitnah dan mengarahkan Lim membayar kos RM20,000 kepada Tan dan RM30,000 kepada akhbar terbabit.
Kata Lim, Tan terlupa tindakan undang-undang yang diambilnya ke atas pemimpin MCA terbabit adalah sebagai menggunakan haknya yang dijamin perlembagaan.
Menurut Lim langkah itu adalah bagi mendapatkan kebenaran dan dan keadilan atas dakwaan palsu terhadapnya.
"Tan enggan menarik balik dakwaan palsunya yang menuduh saya menetapkan syarat apabila memberikan pembiayaan untuk pembinaan sekolah rendah Cina di Johor.
"Tiada bukti ditunjukkan oleh Tan di mahkamah bahawa saya telah menetapkan syarat sedemikian," kata Lim dalam kenyataan hari ini.
Menurut Lim lagi, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang sebenarnya bersetuju dengan dia bahawa Tan membuat dakwaan palsu apabila memutuskan pemimpin MCA itu gagal dalam pembelaan justifikasinya.
"Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak saman fitnah terhadap Tan atas sebab lain.
"Adakah ini membenarkan dakwaan palsu dibuat dengan mudah dan sebarang tanggungjawab boleh dielakkan dengan hanya memasukkan permintaan penjelasan?
"Sebab itu saya telah mengarahkan peguam saya untuk membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan bagi memutuskan sama ada dakwaan fakta palsu tidak semestinya berunsur fitnah seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/14372e3ffa8a819c2c4dc421335ccc84.jpg)
