Bekas Timbalan Presiden Keadilan, Abdul Rahman Othman mengesahkan beliau akan bertanding jawatan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam kongres nasional parti itu di Seremban pada 25 Mei ini.

Katanya, beliau membuat keputusan tersebut setelah meneliti dan mengambilkira pencalonan bahagian serta kehendak ahli yang mahu beliau menerima pencalonan jawatan presiden.

Menurut Abdul Rahman, beliau menerima pencalonan yang mencukupi untuk bertanding jawatan presiden PKR.

Beliau, bagaimanapun, tidak dapat menyatakan jumlah pencalonan yang diterima dan juga belum menerima surat tawaran untuk bertanding jawatan tersebut.

Difahamkan, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR akan bermesyuarat malam esok dan akan mengumumkan senarai pencalonan bagi semua jawatan yang dipertandingkan dalam kongres nasional parti itu hujung bulan ini.

Parti juga akan menghantar surat pencalonan kepada semua yang layak untuk mendapatkan jawapan sama ada mereka menerima atau menolaknya.

Jadi tumpuan

Kongres Nasional PKR kali ini menjadi perhatian kerana jawatan-jawatan utama parti akan dipertandingkan.

Selain Abdul Rahman, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyandang jawatan, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail turut dicalonkan bertanding jawatan presiden PKR.

Bagaimanapun, Dr Wan Azizah dikatakan sedia menarik diri dan memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding jawatan presiden PKR.

Abdul Rahman ketika diminta mengulas perkara tersebut berkata, beliau tidak tahu siapa yang akan menentang beliau dalam kongres itu nanti.

"Saya mahu pertandingan jawatan presiden satu lawan satu dan bukannya tiga penjuru. Saya tidak tahu siapa isteri atau suami yang akan lawan saya," kata Abdul Rahman yang dipecayai merujuk kepada Anwar dan Wan Azizah.

Manakala bagi jawatan timbalan presiden pula, antara yang dicalonkan ialah penyandangnya Dr Syed Husin Ali, Naib Presiden PKR, Azmin Ali dan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Noor.