Najib Abdul Razak menarik balik rayuannya untuk mendapatkan maklumat bank keluarga bekas gabenor bank negara Zeti Akhtar Aziz.
Peguam utama pasukan Najib, Muhammad Shafee Abdullah, memaklumkan perkara itu kepada Mahkamah Persekutuan, yang sepatutnya mendengar rayuan itu pagi ini.
Bekas perdana menteri yang sedang merengkok dalam penjara itu sebelum ini memohon dokumen itu bagi menguatkan pembelaannya dalam kes rasuah RM2.28 billion melibatkan dana kekayaan negara 1MDB.
Shafee memberitahu perkara itu kepada panel tiga hakim yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim.
Hakim-hakim ialah Hakim Besar Malaya Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Mahkamah Persekutuan Zabariah Mohd Yusof.
Timbalan pendakwa raya tidak membantah permohonan itu. Mahkamah Persekutuan kemudian menolak rayuan tersebut.
Najib sebelum ini merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Julai tahun lalu yang menolak permintaanya untuk mendapatkan dokumen itu.
Semasa perbicaraan, peguam Najib membangkitkan kemungkinan pengawasan Bank Negara - berhubung aliran dana ke akaun bank perayu - mungkin dikompromi oleh keluarga Zeti yang didakwa menerima bayaran daripada ahli perniagaan dalam buruan Jho Low.
