Anwar wajar malu pada MB Kedah, kata PAS
PAS berpendapat Perdana Menteri Anwar Ibrahim patut malu kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang memberi peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang di negeri itu tanpa sebarang syarat.
Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin, berkata langkah diambil Sanusi adalah bukti kerajaan PN Kedah memberi khidmat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang politik, kaum mahupun agama.
Justeru langkah kerajaan Kedah, kata Khairil Nizam, merupakan "tamparan" kepada kerajaan Madani pimpinan Anwar yang masih tidak memberikan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.
"Anwar seharusnya malu dengan keterbukaan yang ditunjukkan oleh Sanusi yang memberi peruntukan tanpa syarat kepada semua Adun Kedah, sebaliknya perdana menteri masih lagi tidak terbuka untuk melakukan perkara yang sama kepada ahli parlimen pembangkang.
"PAS ingin mengingatkan kerajaan Madani agar jangan sampai ahli-ahli parlimen ini termasuk ke laporan Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) sebagai individu yang tidak mendapat hak asasi mereka sebagai wakil rakyat yang sah dipilih oleh rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 18 Jun lalu Anwar menekankan bahawa kerajaan tidak mempunyai niat jahat untuk menahan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.
Bagaimanapun, kata Anwar sehingga kini Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin masih belum berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri, Fadhillah Yusof, yang bertanggungjawab dalam menguruskan perkara tersebut.
Sementara itu, Kharil Nizam berkata kerajaan pimpinan Anwar tidak berjiwa besar seperti menteri besar Kedah yang memberi peruntukan pada semua Adun.
Katanya, PAS merakamkan penghargaan kepada Sanusi kerana memberi peruntukan yang adil kepada semua Adun termasuk pembangkang.
"Dalam pembentangan Belanjawan Kedah lalu, menteri besar mengumumkan peruntukan untuk Adun pembangkang setahun RM50,000 dan RM2,000 setiap bulan untuk pengurusan pusat khidmat wakil rakyat," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/31cc765493049ba83b9b65e52b96bb21.jpg)
