Selepas mahkamah hari ini mendapati Zuraida Kamaruddin perlu membayar RM10 juta kepada PKR, pemimpin kanan parti itu lantas mengingatkan: ia hanyalah satu permulaan buat bekas wakil rakyat yang berpaling tadah sebelum ini.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah seterusnya yang bakal diambil parti terbabit ialah membawa bekas ahli parlimen lain yang menyertai Langkah Sheraton pada 2020.

"Kami mulakan dengan Zuraida dan kami menang.

"Langkah seterusnya ialah ke atas bekas ahli parlimen PKR lain yang ikut keluar pada 2020 lalu.

"Fakta kesnya adalah sama, Insya-Allah peluang menang adalah cerah," katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook hari ini.

Malaysiakini pagi tadi melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Zuraida membayar RM10 juta kepada PKR kerana berpaling tadah daripada parti itu pada 2020.

Ketika itu Zuraida merupakan ahli parlimen Ampang untuk penggal ketiga.

Peguam PKR Navpreet Singh berkata keputusan tersebut dibuat hakim Akhtar Tahir semasa prosiding dalam talian.

Katanya Akhtar berpendapat bon yang ditandatangani Zuraida semasa menjadi calon PRU ke-14 lalu adalah kontrak yang sah dan mengikat.

Bahkan jumlah RM10 juta itu munasabah untuk menyekat seseorang ahli parti bertindak bertentangan dengan kepentingan parti.

Hakim juga kata Navpreet mengarahkan Zuraida membayar kos sebanyak RM50,000 kepada plaintif.

Tiada ruang untuk yang khianat

Zuraida meninggalkan PKR dalam peristiwa yang menyaksikan kerajaan PH jatuh pada Feb 2020. Selain Zuraida ada 10 lagi ahli parlimen bertindak sama, termasuk Azmin Ali yang ketika itu menjadi timbalan presiden PKR.

Selepas meninggalkan PKR, Zuraida menyertai Bersatu untuk seketika sebelum menyeberang pula ke Parti Bangsa Malaysia yang menyaksikan dia bersama penyokongnya berdepan dengan konflik dalaman.

Semasa PRU ke-15 dilangsungkan pada Nov 2022 Zuraida bertanding untuk mempertahankan kerusi Ampang namun dia kalah, malah hilang wang pertaruhan.

PKR memulakan tindakan sivil ke atas Zuraida pada Sept 2020.

Mohd Rashid Hasnon

Berdasarkan keputusan mahkamah hari ini, Saifuddin berkata, pengajaran yang boleh diambil oleh semua pihak ialah jangan melakukan khianat kerana kegembiraan yang dialami hanya sementara.

Dia yang juga menteri dalam negeri menambah, ketika ini memang ramai bekas penyokong PKR sedang memohon untuk menyertai semula parti berkenaan namun ia tidaklah semudah itu.

Namun katanya individu yang mengkhianati parti tidak akan diterima semula.

"Maaf ya, masuk parti bukan macam bersalin baju," katanya.

Selain Zuraida, 10 ahli parlimen yang kini berdepan dengan tindakan sama ialah Azmin,Saifuddin Abdullah, Baru Bian, Kamaruddin Jaffar, Mansor Othman, Mohd Rashid Hasnon, Edmund Santhara Kumar Ramanaidu, Ali Biju, Willie Mongin dan Jonathan Yasin.